Bekas bintang Jerman dan Arsenal Mesut Ozil hadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI

Bekas bintang Arsenal dan Real Madrid,Mesut Ozil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 April – Bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil muncul sebagai antara tetamu kehormat pada edisi ke-11 Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM), yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tema forum ialah "Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis" dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai moderator bersama empat ahli panel.
  • Panel menampilkan penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Necmeddin Bilal Erdogan, Dr Zulkifli Hasan, Sharif Hasan Al-Banna dan Dr Khairudin Aljunied.
  • Zambry puji inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi itu sebagai platform bermakna untuk dialog terbuka, penyatuan idea dan perangkaan dasar berlandaskan kebijaksanaan.

Berteraskan tema “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis”, forum tersebut menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bertindak sebagai moderator, bersama empat ahli panel lain.

Forum berkenaan menampilkan panel penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmeddin Bilal Erdogan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan; Pengarah Islamic Institute for Development and Research (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna serta Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Khairudin Aljunied.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Ozil yang juga bekas pemain bola sepak Jerman dijangka berada di Malaysia hingga Khamis ini bagi menghadiri beberapa program, termasuk Sidang Kemuncak Kepimpinan di ibu negara dan klinik bola sepak di Perak.

Sementara itu, Zambry dalam ucapannya menyifatkan forum anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi itu sebagai inisiatif bermakna yang menghimpunkan golongan berkepentingan, profesional dan ahli akademik untuk sesi libat urus terbuka bersama kepimpinan negara.

“Tanpa kekangan protokol, platform itu membolehkan dialog yang bermakna, terbuka, matang dan berorientasikan masa hadapan.

“Di sinilah kita menyaksikan penyatuan idea antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, golongan profesional dan ahli akademik yang bekerjasama secara kolektif bagi menangani isu nasional dan global yang mendesak, serta merangka dasar berlandaskan kebijaksanaan dan realiti,” katanya.