
PUTRAJAYA, 26 April – Landskap ekonomi global yang dipengaruhi ketegangan geopolitik menuntut Malaysia menyusun semula keutamaan dalam menghadapi cabaran dan sebahagiannya di luar kawalan domestik.
- Ketidaktentuan dianggap risiko terbesar; dasar memerlukan keutamaan dan unjuran yang lebih jelas.
- Krisis geopolitik seperti pencerobohan Israel terhadap Iran memberikan implikasi besar kepada rantau.
- Kerajaan menanggung subsidi bahan api besar bagi menjaga kebajikan rakyat; bekalan diesel lebih mencabar daripada petrol.
- Perlu pemikiran jauh dan pengukuhan kajian masa depan untuk menjangka kemungkinan sukar diramal, bukan hanya menangani isu semasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar menegaskan, ketidaktentuan merupakan risiko terbesar kepada ekonomi, sekali gus menuntut keutamaan dan unjuran lebih jelas dalam dasar negara.
“Perkara paling buruk dalam mana-mana ekonomi ialah ketidaktentuan. Sebab itu episod terbaharu pencerobohan Israel terhadap Iran serta implikasinya kepada rantau ini menimbulkan masalah besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 bertemakan “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana di sini, malam tadi.
Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mampu mengekang kenaikan harga bahan api ketika ini dengan harga minyak di Malaysia kekal antara yang terendah di dunia.
“Kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang besar, melebihi RM70 bilion sebulan, bagi mengawal harga kerana keutamaan adalah menjaga kebajikan rakyat.
“Dari segi bekalan, diesel ketika ini masih mencukupi. Namun, berbeza dengan petrol yang pengeluarannya sekitar 50 peratus dan diurus melalui perjanjian sedia ada, bekalan diesel merupakan cabaran utama. Bekalan petrol masih boleh diurus dalam jangka sederhana, tetapi diesel lebih terhad,” katanya.
Tumpuan serius perlu diberikan terhadap aspek ekonomi dalam menghadapi cabaran jangka pendek dan sederhana.
Selain itu negara juga perlu berfikiran jauh ke hadapan dengan memperkukuh kajian masa depan bagi menjangka kemungkinan yang sukar diramal dalam dunia pascanormal, bukan sekadar menangani isu semasa.