Penjaga parkir HSB cedera dipukul peniaga char kuey teow

Foto fail

ALOR SETAR, 26 April -Seorang penjaga parkir di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB) di sini cedera selepas dipukul oleh seorang peniaga char kuey teow.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa mendapatkan rawatan di wad kecemasan keesokan hari selepas muntah dan pening, diberi ubat sawan serta ditahan untuk pemerhatian.
  • Kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan isteri suspek dua hari sebelum berlaku serangan.
  • Rakaman CCTV menunjukkan kejadian pada 10.00 pagi, 20 April; suspek 41 tahun menumbuk, menendang dan menyebabkan mangsa jatuh.
  • Polis merakam percakapan mangsa, tiga saksi dan suspek; kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan berkata, mangsa mendapatkan rawatan di wad kecemasan HSB pada keesokan harinya selepas mengalami muntah dan pening, selain diberikan ubat sawan serta ditahan di wad untuk pemerhatian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan isteri suspek, dua hari sebelum kejadian.

Polis telah merakam percakapan mangsa, tiga saksi serta suspek.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berlaku pada pukul 10.00 pagi, 20 April lalu apabila beberapa individu dilihat datang ke rumah mangsa dan memanggil mangsa.

“Mangsa yang keluar dihadapan rumah kemudian dipukul, ditumbuk dan disepak oleh suspek berusia 41 tahun yang merupakan individu dikenalinya menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa di Jalan Mas Merah 5, Titi Gajah, Alor Setar, Kedah.

Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.