
SHAH ALAM, 26 April – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengingkari perintah Sultan Selangor berkaitan pelaksanaan solat Jumaat di sebuah surau di Ampang, baru-baru ini.
- Polis merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
- Semakan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.
- Kes disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi; polis nasihatkan tidak membuat spekulasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dalam satu kenyataan memaklumkan suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang tadi di Pandan Indah.
Beliau berkata tangkapan tersebut dibuat susulan laporan mengenai insiden di sebuah surau di Taman Seraya, Ampang, yang dipercayai melibatkan pelanggaran arahan rasmi berhubung tatacara pelaksanaan solat Jumaat di negeri berkenaan.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit serta beberapa dokumen bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shazeli memaklumkan hasil semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing juga menunjukkan keputusan negatif.
Menurut beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan serta menggugat ketenteraman awam.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat,” tegas beliau.