
KOTA BHARU, 26 April – Polis Kelantan telah membuka kertas siasatan berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai memperlekeh tugas anggota polis ketika menjalankan sekatan jalan raya (SJR) terhadap sebuah konvoi motosikal.
- Laporan dibuat oleh seorang pegawai kanan polis selepas video tular dikesan di media sosial.
- Siasatan awal mendapati individu dakwa berjaya melepasi beberapa sekatan dengan memperdaya anggota bertugas.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
- Polis beri amaran tindakan tegas tanpa kompromi; nasihatkan peminat permotoran berhemah dan minta orang ramai salurkan maklumat.
Laporan berhubung kejadian itu dibuat oleh seorang pegawai kanan polis kira-kira pukul 10 pagi tadi selepas video berkenaan dikesan tular di platform media sosial.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam satu kenyataan berkata, siasatan awal mendapati individu yang dipercayai peserta konvoi terbabit turut mengeluarkan kenyataan mendakwa berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.
Datuk Mohd Yusoff menyifatkan kenyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta berpotensi menimbulkan persepsi negatif masyarakat, selain menjejaskan imej dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengendalikan penguatkuasaan terhadap kumpulan konvoi.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang cuba memperlekeh tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, terutama yang melibatkan penganjur atau peserta konvoi motosikal”, katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya peminat hobi permotoran, supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial serta tidak menyalahgunakan platform berkenaan untuk mencetuskan kegusaran awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti lelaki atau kumpulan konvoi dalam video tersebut diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.