Fitnah MAIS di TikTok: Kertas siasatan kini di tangan Peguam Negara

Foto RTM

SHAH ALAM, 26 April – Polis Selangor telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi aplikasi TikTok kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan polis lengkap selepas merakam keterangan beberapa individu penting, termasuk mereka yang dikaitkan dengan sebuah NGO.
  • Ketua polis menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab ketika membuat kenyataan di platform digital.
  • PDRM menyiasat seorang individu dipercayai membuat kenyataan fitnah terhadap MAIS dan JAIS berkaitan projek masjid di Subang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan siasatan kes berkenaan telah lengkap sepenuhnya selepas pihaknya merakam keterangan beberapa individu penting, termasuk mereka yang dikaitkan dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kes tersebut kini sedang diteliti oleh Pejabat Peguam Negara bagi menentukan arahan serta keputusan prosedur seterusnya.

“Bagi kes tersebut, kertas siasatan pihak polis telah lengkapkan sehingga kini dan telah diedarkan (ke AGC). Kini kertas siasatan berada di Pejabat Peguam Negara dan sedang menunggu keputusan serta arahan selanjutnya,” katanya demikian kepada media selepas mengiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam upacara pelepasan Larian Diraja Selangor bersama PDRM dan Masyarakat di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menitipkan pesanan agar orang ramai lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di platform digital bagi memastikan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.

Terdahulu, PDRM menjalankan siasatan intensif terhadap seorang individu yang dipercayai membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi media sosial. Kenyataan tersebut didakwa berkaitan dengan isu projek pembangunan sebuah masjid di Subang.