fb fb fb fb fb

Rompak dan bunuh, bekas polis tentera dihukum penjara 45 tahun, 24 sebatan

Tertuduh, Darmadi Sulaiman, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini.

AYER KEROH, 1 Ogos- Bekas polis tentera berpangkat sarjan, Darmadi Sulaiman, dijatuhi hukuman penjara 45 tahun dan 24 sebatan atas tuduhan membunuh dan merompak pasangan suami isteri di Sungai Udang, tujuh tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, Datuk Anselm Charles Fernandis
selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan kes mengikut Seksyen 302 dan 394 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Darmadi didakwa membunuh Abdul Rahman Pileh, yang juga bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) Para antara pukul 7.40 hingga 8.10 malam pada 14 Julai 2017 di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang.
 
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merompak dan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Sabturiah Lakidau, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Peguam, S Paul Krishnaraja yang dibantu Amy Chong Chai Ling dalam hujahnya memohon supaya tertuduh dihukum penjara kerana tertuduh merupakan bekas tentera selama 16 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, hakim menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 15 sebatan untuk kesalahan membunuh serta 10 tahun penjara dan sembilan sebatan untuk kesalahan merompak dengan hukuman berjalan secara berasingan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI