11 ahli keluarga antara korban serangan Israel di Lubnan

Seorang penduduk memegang plakad ketika upacara pengebumian mangsa yang terbunuh dalam serangan Israel di Deir Qanoun al-Nahr, selatan Lubnan/Foto REUTERS

TYRE, LUBNAN, 22 Mei – Suasana pilu menyelubungi Deir Qanoun di Tyre apabila penduduk memberi penghormatan terakhir kepada keluarga yang maut dalam serangan udara Israel minggu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan mengorbankan 14 orang, termasuk 11 ahli keluarga yang sama; tiga lagi cedera.
  • Pihak tempatan berkata tiada infrastruktur ketenteraan di kawasan itu dan mendakwa serangan sebagai pembunuhan beramai-ramai.
  • Operasi mencari mangsa diteruskan; tentera Israel belum mengulas tetapi sebelumnya menyatakan sasaran adalah infrastruktur Hizbullah.

Serangan itu mengorbankan 14 individu termasuk 11 ahli daripada keluarga sama, selain mencederakan tiga lagi mangsa.

Rakaman pengebumian menunjukkan wanita menabur bunga ros ke atas ambulans yang membawa jenazah mangsa sebelum mereka disemadikan.

Foto ahli keluarga yang maut turut diletakkan di atas keranda sepanjang upacara pengebumian berlangsung.

Anggota Majlis Perbandaran Deir Qanoun, Qasim Diab berkata, mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Beliau mendakwa tiada infrastruktur ketenteraan di kawasan berkenaan dan menyifatkan serangan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Seorang penduduk, Susan Ezz Eddine pula menyifatkan ketua keluarga terbabit sebagai individu yang dihormati dan disenangi masyarakat setempat.

Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan jumlah korban meningkat kepada 14 orang pada Rabu, manakala operasi mencari mangsa di bawah runtuhan masih diteruskan.

Tentera Israel belum mengulas mengenai serangan itu setakat ini, namun sebelum ini menyatakan operasi mereka di Lubnan menyasarkan infrastruktur Hizbullah. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.