fb fb fb fb fb

Pemandu van sekolah didakwa abai, cuai sebabkan kematian kanak-kanak

Pemandu van sekolah didakwa atas tuduhan pengabaian dan kecuaian hingga menyebabkan kematian kanak-kanak./ Foto Bernama

BATU PAHAT, 7 Mei- Seorang pemandu van sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, Johor, atas pertuduhan meninggalkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, sehingga menyebabkan kematian, 30 April lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Yau Chee Weng, 57 tahun selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin, dihadapan Hakim Mohamad Khalid Ab. Karim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai penjagaan ke atas Teo Yu Ze, berusia lima tahun dua bulan, didakwa meninggalkan kanak-kanak tersebut, sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Kejadian berlaku di dalam sebuah van, berhadapan sebuah tadika di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor antara 8 pagi hingga 12.05 tengah hari, pada 30 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Goh Toh Jen.

Mahkamah membenarkan jaminan tujuh ribu ringgit kepada tertuduh, berserta syarat tambahan.

Kes disebut semula 12 Jun depan.

MOHAN CHINNASAMY