JOHOR BAHRU, 28 September – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan seramai 104 warga asing berusia antara dua bulan hingga 63 tahun dipercayai melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam Op Sapu yang dijalankan awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi itu dilancarkan hasil aduan berhubung kehadiran pendatang tanpa izin (PTI) yang menetap berhampiran kawasan tanah perkuburan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki, 44 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan warga Indonesia, selain seorang wanita warga Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta ada yang dikesan tinggal lebih masa.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.