
KUALA LUMPUR, 5 Mei –Pameran Empayar Agung Inca: Penyatuan dan Kepelbagaian anjuran Kedutaan Besar Peru di Malaysia, bantu perkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Peru.
- Diplomasi budaya menghubungkan masyarakat melalui perkongsian warisan dan nilai sejagat, meningkatkan persefahaman antara Malaysia dan Peru.
- Kepelbagaian dilihat sebagai sumber kekuatan yang membentuk identiti nasional, ekspresi budaya dan perpaduan sosial.
- Pameran menjadi platform penting memperluas kerjasama berteraskan budaya dan ilmu sambil memperkukuh hubungan diplomatik yang memasuki tahun ke-40.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, pameran berkenaan mencerminkan peranan diplomasi budaya dalam menghubungkan masyarakat melalui perkongsian warisan dan nilai sejagat, sekali gus meningkatkan persefahaman antara negara.
“Di kedua-dua negara, kepelbagaian tidak dilihat sebagai pemisah, sebaliknya sebagai sumber kekuatan yang membentuk identiti nasional, ekspresi budaya dan perpaduan sosial. Kepelbagaian ini menjadi kekuatan untuk kita.
“Melalui pameran ini, kita dapat melihat bagaimana sejarah menjadi jambatan, budaya menjadi bahasa bersama, dan ilmu menjadi asas kepada hubungan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Peru,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program dan Pameran Empayar Agung Inca: Penyatuan dan Kepelbagaian, di sini.
Menurutnya lagi, penganjuran program itu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia–Peru yang memasuki tahun ke-40 malah menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama berteraskan budaya dan ilmu.
Turut hadir pada majlis itu ialah, Duta Besar Peru ke Malaysia, Ricardo Estanislao Morote Canales, dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina binti Abdul Hamid.