ALOR SETAR,, 5 Mei -Penganjuran sebarang program politik mana-mana pihak dalam apa jua bentuk di premis masjid dan surau di Kedah adalah tidak dibenarkan.
- Masjid mesti kekal sebagai lambang kesatuan umat, memelihara keharmonian dan mengelakkan perpecahan.
- Pengurusan masjid hendaklah profesional, kompeten dan berintegriti, jawatankuasa perlu aktif serta urus kewangan dengan telus.
- Patuhi garis panduan agama negeri termasuk penggunaan pembesar suara; manfaatkan teknologi dan pantau kandungan media sosial masjid.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, sebarang unsur politik perlu dielakkan sepenuhnya daripada ru

ang masjid, sama ada dalam bentuk ucapan, ceramah mahupun perbincangan tidak rasmi yang boleh mencetuskan ketegangan.
Baginda merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah bertitah, masyarakat akan hidup lebih aman dan bersatu apabila masjid terpelihara daripada sebarang bentuk perpecahan.
“Masjid merupakan lambang kesatuan umat Islam. Justeru, keharmonian di dalam masjid hendaklah sentiasa dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab. Saya ingin menegaskan bahawa masjid tidak boleh sama sekali dijadikan medan
perbalahan, apatah lagi tempat menyemai bibit-bibit perpecahan.
“Dalam suasana masyarakat yang pelbagai pandangan dan latar belakang, masjid mesti kekal sebagai tempat yang menyatukan, bukan memisahkan,” Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Seminar Pemerkasaan Institusi Masjid Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026 di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah, di sini.
Menyentuh aspek tadbir urus, baginda mahu masjid diurus dengan penuh profesionalisme, kompetensi dan integriti.
Baginda bertitah, jawatankuasa masjid perlu memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada kariah.
Titah baginda, pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan telus, teratur dan betul, kerana setiap sen yang disumbangkan oleh masyarakat adalah satu amanah.
Dalam titah ucapan sama, baginda mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi arahan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak
berkuasa agama negeri.
Segala dasar dan ketetapan daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah hendaklah dihormati dan dilaksanakan dengan penuh disiplin, termasuk pematuhan terhadap Garis Panduan Penggunaan Pembesar Suara di Masjid dan Surau.
“Para Imam dan jawatankuasa kariah hendaklah memastikan agar garis panduan tersebut dipatuhi sepenuhnya. Sebagai contoh, laungan azan sewajarnya digunakan pembesar suara luar, manakala bagi ceramah, kuliah dan lain-lain
hendaklah menggunakan pembesar suara dalam dengan kadar bunyi yang bersesuaian yang tidak menyakitkan dan memekakkan telinga.
“Perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun ia memberi kesan besar kepada keharmonian masyarakat setempat. Gunakanlah kemudahan yang ada dengan penuh hikmah, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengelakkan sebarang gangguan yang tidak perlu,” titah baginda.
Selain itu, baginda bertitah, masjid boleh berperanan sebagai pusat pembangunan ummah yang komprehensif dengan pelbagai program berbentuk pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan, pembangunan belia dan kekeluargaan serta pembangunan ekonomi setempat yang perlu diperkasakan.
Dalam era digital, Tengku Sarafudin Badlishah menyeru agar teknologi dan media sosial dimanfaatkan untuk menyebar mesej Islam yang benar, sederhana dan menenangkan.
Baginda turut mengingatkan pentadbir media sosial masjid supaya sentiasa memantau komen netizen dan memadamkan komen tidak beradab jika ia boleh menjatuhkan reputasi institusi masjid.