
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Langkah Kerajaan MADANI dengan menyediakan bantuan kewangan sehingga 30 hari selepas tempoh cuti bersalin selama 98 hari, bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan merupakan perkembangan positif untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita Malaysia.
- Sokongan kewangan perlu dilengkapi pengaturan kerja fleksibel seperti kerja hibrid dan waktu anjal supaya ibu dapat kembali, kekal dan berkembang dalam kerjaya.
- Akses kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja mesti diperluas; terdapat jurang ketara antara permintaan pekerja dan penyediaan sedia ada.
- Pendekatan holistik diperlukan: sokongan ekosistem, akauntabiliti majikan dan dasar tempat kerja yang menyokong, bukan hanya bantuan kewangan jangka pendek.
Pengarah Urusan Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI) Rashaad Ali dalam kenyataan berpandangan, terdapat beberapa inisiatif yang perlu ditambah baik bagi menyokong golongan wanita untuk terus berada dalam ekosistem pekerjaan.
“Kira-kira 74.5 peratus wanita menyatakan keperluan kepada waktu kerja yang fleksibel, manakala 70.1 peratus pula memilih pilihan bekerja dari rumah, sekali gus menunjukkan bahawa sokongan kewangan semata-mata tidak mencukupi tanpa pengaturan kerja yang lebih menyokong.
“Dapatan tersebut menunjukkan bahawa walaupun sokongan kewangan selepas cuti bersalin adalah penting, ia perlu dilengkapi dengan struktur tempat kerja yang membolehkan ibu kembali bekerja, kekal serta berkembang dalam kerjaya mereka,” menurut kenyataan itu.
Hasil dapatan SERI dalam kajian yang dilakukan, terdapat jurang struktur dalam kemudahan penjagaan kanak-kanak serta dasar tempat kerja seperti tempoh waktu kerja tetap. Ia dilihat kurang sesuai bagi menggalakkan penyertaan berterusan wanita dalam tenaga kerja.
“Menerusi tinjauan yang dilakukan lebih 70 peratus ibu yang bekerja berpendapat kemudahan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja sebagai penting, namun hanya 4.4 peratus yang mempunyai akses kepada kemudahan tersebut ketika ini. Ia sekali gus menunjukkan jurang ketara antara permintaan dan penyediaan,” tambah kenyataan itu.
Bagi menyokong komitmen kerajaan sokongan kepada ibu perlu melangkaui bantuan kewangan jangka pendek. Pengaturan kerja fleksibel seperti kerja hibrid dan waktu kerja anjal dilihat sebagai antara kaedah paling praktikal untuk membantu wanita kekal dalam tenaga kerja.
Sementara itu Pengurus Program SERI, Sara Rizal berpendapat, inisiatif Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) merupakan satu langkah peralihan penting.
“Namun, untuk benar-benar mengekalkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja, kita perlu menangani keseluruhan ekosistem sokongan, termasuk akses kepada penjagaan kanak-kanak, fleksibiliti tempat kerja serta akauntabiliti majikan,” kata Sara Rizal.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencadangkan Elaun Pasca Cuti Bersalin sebagai penggalak untuk mereka kekal dalam pasaran kerja selepas tamat tempoh cuti bersalin.