59 peratus jawatan di Hospital Pasir Gudang belum diisi – Exco

Hospital Pasir Gudang/Bernama

ISKANDAR PUTERI, 5 Mei- Hospital Pasir Gudang (HPG) di Johor masih belum dapat beroperasi sepenuhnya apabila 59 peratus atau lebih 1,300 daripada keseluruhan 2,271 perjawatan petugas kesihatan yang diluluskan belum diisi setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital masih menghadapi kekurangan pegawai; hanya 929 jawatan diisi, menyebabkan operasi terhad.
  • Hanya 14 klinik pakar mula beroperasi termasuk Jabatan Kecemasan, Pembedahan Am, Pediatrik dan Ortopedik.
  • Dari 304 katil, hanya 157 katil di sembilan wad beroperasi kerana kekangan petugas.
  • Kerajaan negeri dan KKM berusaha menambah penempatan, sasaran operasi semua katil menjelang September jika jawatan diisi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata sebanyak 929 jawatan telah berjaya diisi bersamaan 41 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Keadaan itu menyebabkan operasi hospital berkenaan masih terhad meskipun telah dibuka secara berperingkat sejak akhir tahun lalu dan mula menerima pesakit awam.

“Ketika ini, sebanyak 14 klinik pakar atau klinik perkhidmatan telah mula beroperasi termasuk Jabatan Kecemasan, Pembedahan Am, Pediatrik dan Ortopedik.

“Hospital ini mempunyai 304 katil, namun hanya 157 katil di sembilan wad beroperasi berbanding keseluruhan 14 wad kerana kekangan petugas,” katanya di sini.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha menambah penempatan petugas kesihatan dan menyasarkan semua katil dapat dioperasikan menjelang September sekiranya kekosongan jawatan dapat diisi.

Kewujudan HPG turut membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital lain apabila sebahagian pesakit dapat disalurkan ke hospital baharu itu.

Khamis lalu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ketika merasmikan Mesyuarat Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di sini menggesa Kerajaan Persekutuan menyegerakan penyelesaian isu penjawatan.

Baginda turut menekankan keperluan mempertingkat kelengkapan fasiliti bagi memastikan hospital berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya.