Lapan keluarga asnaf terima bantuan baiki rumah dI PPR Desa Tun Razak

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Mei -Sebanyak lapan keluarga golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini menerima bantuan berjumlah RM85,600 menerusi Program Baiki Kediaman Asnaf 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sun Life Malaysia Takaful menyumbang RM10,700 bagi setiap rumah, termasuk baik pulih, Bakul Rezeki dan bantuan tunai.
  • Dr Zulkifli berkata program baiki rumah akan diteruskan oleh PPZ-MAIWP bersama pembayar zakat untuk memberi sinar baharu.
  • Pembayar zakat korporat dan individu diseru menyertai kerjasama program kebajikan bagi memberi manfaat kepada rakyat.
  • MAIWP turut memberi bantuan umum termasuk bantuan kewangan bulanan RM500 dan bantuan sewa RM124 kepada golongan asnaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peruntukan RM10,700 bagi setiap rumah itu disumbangkan Pemegang Wakalah yang terlibat, Sun Life Malaysia Takaful Berhad.

“Untuk projek bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad, peruntukan bukan sahaja bagi dana make over (ubah suai) rumah namun turut disekalikan dengan sumbangan Bakul Rezeki serta bantuan tunai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat penerima bantuan itu di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad Noor Azam Mohd Yusof.

Dr Zulkifli berkata, program membaiki rumah akan diteruskan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama pembayar zakat, sebagai usaha memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

Justeru, katanya pembayar zakat korporat dan individu diseru bersama-sama melaksanakan kerjasama menerusi program kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata selain bantuan membaiki rumah menerusi program itu, MAIWP turut memberi bantuan umum termasuk bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 dan bantuan sewa rumah RM124 kepada golongan asnaf.