fb fb fb fb fb

Lelaki bunuh bapa didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Krai

Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya/ BERNAMA

KUALA KRAI, 13 Ogos - Suspek bunuh bapa, Othman Juseh, 74 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Krai, Kelantan, hari ini atas pertuduhan membunuh bapanya di Kampung Kuala Gris, Dabong, pada 6 Ogos lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap suspek, Narosman Othman, 39 tahun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian terhadap Othman, antara pukul 6.00 hingga 6.30 pagi di sebuah rumah di Kampung Kuala Gris, Dabong pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara bagi suatu tempoh yang tidak kurang 30 tahun hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.

Pendakwaan terhadap suspek dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Mohd Hafiz Iman Asri dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Hafiz Iman dalam prosiding itu turut memohon agar tertuduh dihantar ke hospital bagi tujuan pemeriksaan kesihatan mental.

Mahkamah menetapkan 10 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak, untuk pemeriksaan mental.

Terdahulu, media melaporkan seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul anak lelakinya dipercayai dengan kerusi kayu di Kampung Kuala Gris, Dabong. 

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, berkata, akibat pukulan itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Katanya, ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan baharu keluar penjara pada awal Julai lalu.

Suspek juga memiliki tujuh rekod lampau iaitu lima kesalahan melibatkan kes dadah dan dua melibatkan kes ugutan jenayah.

ROSLINA BINTI DIN