fb fb fb fb fb

Ketua Pengarah Laut didakwa tipu surat pengecualian minyak gred berat

Kapten Mohamad Halim Ahmed ketika berada di mahkamah pagi tadi

SHAH ALAM, 1 Ogos- Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia (JLM) Kapten Mohamad Halim Ahmed didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu berhubung surat pengecualian kepada syarikat perkapalan untuk membawa minyak gred berat di perairan negara tanpa kelulusan Menteri Pengangkutan, empat tahun lepas.

Mohamad Halim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Halim yang ketika itu Setiausaha Bahagian Maritim, Kementerian Pengangkutan didakwa telah menipu Ketua Pengarah JLM pada masa itu Datuk Baharin Abdul Hamid dan memperdayakannya dengan mengemukakan Surat Kementerian Pengangkutan Malaysia bertarikh 27 Oktober 2020.

Surat itu menyatakan “YB Menteri Pengangkutan pada 22 Oktober 2020 telah memutuskan supaya tempoh bagi syarikat-syarikat perkapalan yang telah diberikan pengecualian untuk membawa heavy grade oil di dalam perairan Malaysia perlu dikekalkan mengikut tarikh yang telah diluluskan” sedangkan tiada kelulusan sedemikian diberikan.

Perbuatan tertuduh menyebabkan Baharin telah mengeluarkan surat pengecualian kepada syarikat-syarikat perkapalan berkenaan yang beliau tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Laut, Jabatan Laut Malaysia, Jalan Limbungan, Pelabuhan Klang,pada 27 Oktober 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM di Selangor serta dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Anita menetapkan 7 Oktober untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE