fb fb fb fb fb

Kereta peronda polis dilanggar, tembakan dilepaskan

Foto hiasan

JOHOR BAHRU, 19 Julai- Polis Johor melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pukul 12.20 tengah hari semalam, selepas kereta tersebut melanggar kenderaan peronda polis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, tindakan kereta tersebut hampir mencederakan pegawai polis bertugas di lokasi.

"Sebelum insiden berlaku, pegawai polis terlibat sedang memeriksa sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki di kawasan kediaman terbabit.

"Secara tiba-tiba, sebuah kereta dipandu secara melulu, dan melanggar kenderaan polis, memaksa pegawai terlibat mempertahankan diri dan melepaskan tembakan," kata Sohaimi.

Tiga lelaki berumur 24 hingga 45 tahun ditahan dalam kejadian itu, dan kesemua mereka mempunyai 10 rekod jenayah dan dadah, selain positif methamphetamine.

Selain itu, polis sedang memburu seorang lagi suspek terlibat dalam kejadian itu, iaitu Mohd Syakirin Mohd Samsudin, berumur 25 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI