SEREMBAN, 24 Januari- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan berjaya menumpaskan cubaan pengedaran rokok putih selepas berjaya merampas sebanyak 275,000 paket rokok yang mengandungi 5.5 juta batang rokok putih.
Ketika rampasan dibuat, sebuah lori jenis 'bonded' yang bertutup yang digunakan bagi tujuan penyeludupan rokok turut disita dan menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM4.164 juta.
Menurut Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Muhammad Hafiz Ishak, modus operandi sindiket tersebut adalah dengan membawa masuk rokok berkenaan dari Thailand menggunakan dokumen pesanan penghantaran (delivery order) serta label cukai palsu bagi tujuan mengedarkan ke pasaran tempatan dan dijual pada harga yang murah.
"Kesemua paket rokok yang dijumpai mempunyai label cukai palsu dan disyaki barangan Larangan Import Di Bawah Butiran 1, Bahagian lI, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023."
"Kesemua barang ekshibit bersama satu unit lori bonded jenis Nissan telah disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 dan dibawa balik ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut bersama seorang OYDS," kata Muhammad Hafiz kepada pemberita dalam sidang media bersempena kejayaan JKDM Negeri Sembilan menumpaskan sindiket pengedaran rokok putih.
Dalam pada itu, seorang pemandu lori warganegara tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an turut ditahan ketika rampasan dibuat oleh dua buah pasukan anggota JKDM Negeri Sembilan pada 14 Januari lalu yang berhampiran dengan Hentian RNR Gombak.
Bagaimanapun, kes itu masih lagi disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Orang awam diseru bagi membantu pihak JKDM Negeri Sembilan dalam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti tersebut.