PUTRAJAYA, 17 Februari- Jabatan pertanian merampas sebanyak 10,125 racun perosak tidak berdaftar bernilai RM 50,625.00.
Rampasan produk seludup dari China yang mengandungi racun merbahaya itu dilakukan Pasukan Penguatkuasaan Lembaga Racun Makhluk Perosak, di sebuah premis menjual input pertanian di Kampung Gajah, Perak.
Jelas Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan, dalam serbuan pada 1 Februari lalu terdapat beberapa pelanggan dan dua pekerja berada di dalam premis terbabit.
Pemeriksaan lanjut menemukan 81 kotak mengandungi 125 paket 40g Racun Siput Gondang Emas yang dijual pada harga serendah RM5 sepaket yang turut dijual secara dalam talian.
Lebih membimbangkan racun berkenaan mengandungi perawis aktif 'Fentin Acetate' yang diharamkan penggunaannya berikutan impaknya terhadap alam sekitar.
(Antara racun perosak tidak berdaftar yang dirampas)
'Fentin Acetate' merupakan sejenis racun perosak kimia daripada kumpulan organotin yang mula diperkenalkan pada tahun 1954 dan digunakan sebagai racun kulat serta racun serangga dan diklasifikasi sangat berbahaya kepada alam sekitar terutamanya kepada hidupan akuatik.
Pemilik premis akan didakwa mengikut seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974.