Kerajaan rancang integrasi Internet sebagai utiliti asas dalam reka bentuk perumahan

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 April – Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merancang untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) dalam merangka pendekatan baharu reka bentuk perumahan yang lebih inklusif dan bersedia dengan keperluan digital masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Integrasi infrastruktur digital harus dirancang awal dalam reka bentuk perumahan dan internet diiktiraf sebagai utiliti asas setara elektrik dan air.
  • Dasar diperlukan untuk memastikan isu kesalinghubungan penduduk taman perumahan baharu tidak dipinggirkan.
  • MCMC sedang merangka Dasar Infrastruktur Digital Negara meliputi menara telekomunikasi, gentian optik, WiFi dan teknologi satelit untuk capaian menyeluruh.
  • Langkah ini menangani masalah capaian lemah di fasa awal pembangunan akibat kelewatan pembinaan infrastruktur oleh penyedia perkhidmatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bertujuan memastikan infrastruktur digital diintegrasikan seawal peringkat perancangan bangunan, memandangkan internet kini diiktiraf sebagai utiliti asas setaraf dengan bekalan elektrik dan air.

Beliau menegaskan, dasar itu penting bagi memastikan isu kesalinghubungan dalam kalangan penduduk di taman-taman perumahan baharu tidak lagi dipinggirkan.

“Jadi saya nampak kita perlu rancang, rencanakan dan terapkan sebagai satu dasar untuk pastikan isu kesalinghubungan termasuk untuk bangunan-bangunan yang baru, taman-taman perumahan yang baru.

“Ini difikirkan dan direka bentuknya awal sama seperti kita beri keutamaan untuk elektrisiti, untuk pembentungan dan air. Jadi internet sebagai satu utiliti asas,” katanya selepas merasmikan persidangan seni bina antarabangsa DATUM:KL 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, MCMC kini sedang merangka Dasar Infrastruktur Digital Negara yang merangkumi pembangunan menara telekomunikasi, gentian optik, WiFi serta penggunaan teknologi satelit bagi menjamin capaian yang menyeluruh.

Langkah tersebut juga bertujuan menangani isu kawasan perumahan baharu yang sering mengalami masalah capaian lemah akibat kelewatan penyedia perkhidmatan membina infrastruktur atas faktor kepadatan penduduk yang masih rendah pada fasa awal pembangunan.

Persidangan DATUM:KL 2026 yang berlangsung dari 29 Julai hingga 1 Ogos di MITEC merupakan acara utama di bawah Kuala Lumpur Architecture Festival (KLAF) anjuran PAM yang menghimpunkan pakar industri bagi membincangkan masa depan persekitaran binaan negara.