fb fb fb fb fb

Shuib salurkan wang saman fitnah ke tabung Palestin

Tangkap layar menerusi hantaran di Instagram milik Shuib selepas merekodkan penghakiman persetujuan di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

SHAH ALAM, 10 Januari - Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, sedia memaafkan lelaki dikenali sebagai John Dihani yang didakwa menyebarkan fitnah terhadapnya dan Allahyarham Siti Sarah Raisuddin pada Julai tahun lalu.

Dalam tuntutan itu, John atau Mohd Johan Dihani Mohd Zaini perlu menanggung akibat dengan membayar sejumlah saman kepada Shuib.

Shuib bagaimanapun enggan berkongsi dengan jumlah bayaran tersebut dan mahu mendermakan keseluruhan wang itu kepada tabung Palestin.

"Untuk saman ini ada jumlah yang perlu dibayar cuma saya tak boleh jelaskan berapa jumlah yang perlu dibayar.

"Hasil duit saman semua akan disalurkan ke Tabung Palestin di bawah Yayasan Nurjiwa," katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya selepas merekodkan penghakiman persetujuan di perkarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam pagi tadi.

Menerusi video yang dikongsikan itu, Shuib sebagai plaintif ditemani peguam turut memaparkan John sedang membaca pernyataan maaf kepada Shuib.

Selesai membaca kenyataan maaf dan fitnah dari John, mereka berdua sempat bersalaman sebagai tanda perdamaian antara kedua-dua pihak.

"Terima kasih banyak, saya dah faham apa awak bacakan, saya harap tidak berlaku lagi perkara seperti ini," katanya.

Dalam pertemuan itu, Shuib berkata kes fitnah terhadap dirinya dan arwah isteri sudah selesai selepas lima bulan berlalu.

"Alhamdulillah hari ini 10 Januari selesai sudah kes fitnah terhadap saya dan arwah Siti Sarah. Hampir lima bulan dan hari ini semuanya telah pun terjawab.

"Fitnah kamu John Dihani adalah langsung tak berasas dan tak masuk akal. Tetapi atas dasar ikhsan dan profesional, saya maafkan kamu dan halalkan segala fitnah terhadap saya," katanya.

John dalam permohonan maafnya mengakui telah membuat hantaran fitnah di media sosial kepada Shuib pada 8 Ogos tahun lalu.

Sementara itu, pada 4 Julai tahun lalu, Shuib juga telah memaafkan seorang lelaki yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah dengan Freemason yang diadakan secara berdepan pada sidang media.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN