PETALING JAYA, 14 Disember - Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun melancarkan album terbaharunya berjudul Haramain, yang diinspirasikan daripada pengalaman beliau di Mekah dan Madinah.
Album ke-11 terbitan Sony Music itu merupakan hasil kolaborasi bersama penulis lirik terkenal seperti ITO Lara dan Ahmad Fedtri Yahya.
Menampilkan elemen nasyid moden dan akustik, album tersebut menyampaikan gambaran mengenai kesucian Tanah Haram dengan cara yang unik dan relevan kepada pendengar masa kini.
Menurut Hafiz, album tersebut diharap dapat membangkitkan rasa cinta terhadap lokasi bersejarah itu melalui lirik yang memaparkan kisah tempat, sejarah, dan subjek berkaitan.
"Semoga album ini dapat membangkitkan perasaan cinta kepada Tanah Haram. Saya juga menampilkan lirik-lirik yang menjelaskan lokasi, sejarah, dan subjek yang dekat dengan hati kita," katanya.
Tambah Hafiz, untuk mendapatkan sentuhan muzik Timur Tengah yang autentik, sebahagian proses rakaman dilakukan di luar negara, termasuk di Istanbul, Turki.
Album tersebut memuatkan sepuluh lagu, antaranya Batu Hitam, Zamzam, Raudah, Kota Cinta, Jabal Qubais, Arafah, Baqi', Raudah, Srikandi Solehah dan Kiswah.
Menariknya, Haramain turut menampilkan kolaborasi bersama artis dan kumpulan terkenal seperti Ruffedge, Rabithah, dan Adi Priyo dari kumpulan Sixth Sense.