Pertunjukan udara pukau pengunjung di Dataran Putrajaya

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Ogos – Ruang udara Putrajaya terus bergema dengan deruman enjin pesawat sekali gus mencuri tumpuan puluhan ribu pengunjung pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertunjukan membabitkan aset TUDM, APMM, PDRM dan JBPM.
  • Aset dipamerkan termasuk Sukhoi SU-30MKM, Hawk, A400M dan beberapa helikopter.
  • Dipimpin Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris yang menerbangkan Sukhoi SU-30MKM sendiri.
  • Formasi tepat mempamerkan kemahiran juruterbang serta kesiapsiagaan dan kekuatan aset pertahanan negara.

Pertunjukan udara yang menjadi antara acara kemuncak sambutan itu membabitkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Antara aset yang dipamerkan ialah pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM dan Hawk, pesawat pengangkut A400M serta beberapa helikopter milik agensi keselamatan dan penyelamat negara.

Diketuai Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris yang menerbangkan sendiri pesawat Sukhoi SU-30MKM digabungkan dengan pelbagai pesawat pertahanan negara antaranya C-130 Hercules dan Superlynx MK 100 yang memecah suasana di Dataran Putrajaya dengan sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai.

Pelbagai formasi menarik dipersembahkan dengan penuh ketepatan, sekali gus menyerlahkan kemahiran juruterbang serta keupayaan aset pertahanan dan keselamatan negara.

Pengunjung yang memenuhi sekitar Dataran Putrajaya turut mengambil kesempatan dengan merakam detik berkenaan menggunakan telefon bimbit, selain memberikan sorakan dan tepukan setiap kali pesawat melintasi kawasan pentas utama.

Pertunjukan berkenaan bukan sahaja menjadi tarikan visual, malah memperlihatkan kesiapsiagaan, kecekapan serta kekuatan aset negara dalam mempertahankan kedaulatan dan menjamin keselamatan rakyat.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membabitkan 10,819 peserta, 328 aset serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.