Jerebu: Kualiti udara merosot, empat kawasan di Sarawak catat bacaan IPU bahaya

Foto BERNAMA

KUCHING, 31 Ogos – Situasi jerebu di Sarawak kian merosot dengan kualiti udara di empat kawasan dikenal pasti mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) berada tahap bahaya setakat 9 pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPU tertinggi: IPD Serian 475; Samarahan 334; Sri Aman 330; Kuching 324.
  • Tiga kawasan catat tahap sangat tidak sihat: Sarikei 271, Sibu 219, Mukah 214.
  • IPU diklasifikasi: 0-50 baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, >300 bahaya; data setiap jam.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sri Aman menjadi lokasi terbaharu dengan bacaan IPU tahap bahaya.

Bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 475, diikuti Samarahan (334), Sri Aman (330) dan Kuching (324).

Selain itu, tiga kawasan yang mencatatkan bacaan tahap sangat tidak sihat melibatkan Sarikei, iaitu 271, diikuti Sibu (219) dan Mukah (214).

Kawasan merekodkan bacaan tidak sihat pula, antaranya Samalaju (180), Miri (171), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (169), Kapit (164), Bintulu (161) dan Limbang (159).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.

Data dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Sementara itu, 14 kawasan di semenanjung turut mencatatkan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini, melibatkan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Menurut portal APIMS, bacaan IPU di Sungai Petani, Kedah ialah 157, diikuti Seberang Jaya dan Seberang Perai di Pulau Pinang masing-masing mencatatkan 155 dan 154 serta Minden (152), dan Taiping di Perak (141). – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.