
PUTRAJAYA, 15 Oktober – Buku yang mengisahkan perjalanan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal penglibatan dalam aktivisme dan politik dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan.
- Buku perjalanan perjuangan Datuk Seri Anwar dijangka dilancarkan pada Mac tahun depan.
- Naskhah itu bertujuan membantu generasi muda memahami sejarah perjuangan dan menjadi panduan serta sumber pengajaran kepada masyarakat.
- Terbitan meja kopi dwibahasa oleh Pertubuhan Kepedulian dan Keprihatinan Insan Malaysia sebagai dokumentasi untuk rujukan generasi akan datang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, penerbitan buku berkenaan penting bagi membantu generasi muda memahami sejarah perjuangan Datuk Seri Anwar dengan lebih mendalam.
Menurutnya, naskhah itu bukan sekadar merakamkan perjalanan hidup tokoh berkenaan, malah berpotensi menjadi panduan serta sumber pengajaran dan iktibar kepada masyarakat.
“satu lagi naskhah yang saya fikir cukup penting untuk generasi muda khususnya mengetahui sejarah perjalanan perjuangan Datuk Seri Anwar.
“Ia dirakamkan dalam sebuah naskhah supaya dapat menjadi panduan, pengajaran dan juga mungkin sebahagiannya itu iktibar kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis prapelancaran buku Anwar Ibrahim: Kisah yang Dirakam atau A Life Recorded di sini hari ini.
Tambah beliau, dokumentasi berkenaan dapat membantu memperkenalkan sisi perjuangan Datuk Seri Anwar yang mungkin kurang diketahui masyarakat, khususnya generasi muda.
Muhammad Kamil berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa naskhah itu telah siap, namun beberapa penambahbaikan masih perlu dilakukan sebelum pelancaran rasmi yang dijangka berlangsung pada Mac tahun depan.
Buku meja kopi terbitan Pertubuhan Kepedulian dan Keprihatinan Insan Malaysia (Malaysia Peduli) itu diterbitkan dalam dwibahasa sebagai dokumentasi perjalanan perjuangan dan kepimpinan Datuk Seri Anwar untuk rujukan generasi akan datang.