Belanjawan 2027 buka peluang kepada kontraktor kecil

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Peruntukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Belanjawan 2027 bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat, malah membuka peluang lebih luas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya kontraktor tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan KKR membolehkan naik taraf infrastruktur sedia ada seperti pembaikan jalan, sekolah dan kemudahan awam.
  • Peruntukan membuka peluang kepada kontraktor kecil dan sederhana, khasnya kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4.
  • Belanjawan dianggap mesra rakyat membuka ruang penglibatan kontraktor tempatan, terutama di Sabah dan Sarawak.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Dr Azman Yusoff berkata, peningkatan peruntukan itu merupakan langkah positif yang boleh dimanfaatkan rakyat dan golongan kontraktor.

Beliau berkata, peruntukan berkenaan berpotensi membantu menaik taraf infrastruktur sedia ada, termasuk kerja membaik pulih jalan raya, sekolah, kemudahan awam dan tandas awam.

“Ia juga amat penting kerana kontraktor kecil dan sederhana berpeluang mendapat bahagian dalam projek yang dilaksanakan kerajaan menerusi KKR,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan sebuah syarikat kejuruteraan di Sarawak, Azman Bujang berkata, peningkatan peruntukan itu turut membuka peluang kepada kontraktor, terutama di Sabah dan Sarawak yang masih dalam fasa pembangunan.

Beliau menyifatkan belanjawan berkenaan sebagai mesra rakyat kerana memberi ruang kepada kontraktor tempatan untuk terlibat dalam pelaksanaan projek kerajaan.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan sebanyak RM7.5 bilion diperuntukkan khusus bagi memperkasa kontraktor kecil Bumiputera Gred G1 hingga G4.

Peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM10.882 bilion yang disalurkan kepada KKR menerusi Belanjawan 2027, meningkat 1.78 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.