ContentAsia Awards 2026: Malaysia sapu bersih tiga anugerah utama Program Animasi Terbaik

BoBoiBoy Galaxy Baraju terbitan MONSTA Studios Sdn. Bhd. meraih anugerah Emas pada ContentAsia Awards 2026 / Foto FINAS

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Industri kandungan kreatif Malaysia mencipta kejayaan membanggakan di pentas Asia apabila membolot ketiga-tiga anugerah utama bagi kategori Best Animated Programme Made in Asia pada ContentAsia Awards 2026 di Bangkok, Thailand.

RINGKASAN BERITA AI
  • BoBoiBoy Galaxy Baraju raih Emas, Kisah Bawah Tanah Perak, Upin & Ipin: Wira Minyak Sawit Gangsa.
  • Kejayaan memperlihatkan keupayaan animasi tempatan bersaing dan diterima di pentas Asia, meningkatkan profil industri kreatif Malaysia.
  • BoBoiBoy Galaxy Baraju capai lebih 320 juta tontonan dan muncul siri kanak-kanak nombor 1 di Netflix Asia Tenggara.

Menurut kenyataan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di laman Facebooknya, kejayaan itu menyaksikan BoBoiBoy Galaxy Baraju terbitan MONSTA Studios Sdn. Bhd. meraih anugerah Emas, manakala Kisah Bawah Tanah terbitan Astro Malaysia menerima Perak dan Upin & Ipin: Wira Minyak Sawit terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. membawa pulang Gangsa.

Kejayaan berkenaan membuktikan keupayaan karya animasi tempatan untuk bersaing di peringkat Asia, selain memperlihatkan potensi industri kandungan kreatif Malaysia di pentas antarabangsa.

Turut menerima pencalonan ialah beberapa karya dan bakat tempatan dalam pelbagai kategori termasuk animasi, program televisyen, reka bentuk bunyi, format televisyen serta filem.

Antaranya, pelakon Noorkhiriah Ahmad yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Program TV/Siri menerusi karya Seribu Tahun.

Dalam pada itu, Pengarah MONSTA Media, Faiz Zainal Aabidin menerusi kenyataan berkata, kejayaan itu satu pencapaian bermakna buat syarikat berkenaan, lebih-lebih lagi ia berlaku pada Bulan Kebangsaan.

“Kemenangan ini bukan sekadar mengenai dua trofi yang diraih MONSTA tetapi yang lebih penting lagi, ia membawa nama Malaysia dan hasil karya bakat tempatan untuk diraikan di persada Asia.

“Bersempena dengan Bulan Kebangsaan ini, kami amat berbangga kerana BoBoiBoy Galaxy Baraju mampu menjadi antara karya yang mewakili Malaysia menerusi kreativiti, animasi dan bakat tempatan,” katanya.

BoBoiBoy Galaxy Baraju mendapat sambutan luar biasa daripada penonton apabila meraih lebih 320 juta tontonan di semua platform digital rasmi MONSTA dan muncul sebagai siri animasi kanak-kanak nombor 1 di Netflix Asia Tenggara.

ContentAsia Awards 2026, yang berlangsung di Bangkok, Thailand, menghimpunkan penyertaan dari 11 negara di seluruh Asia termasuk pasaran utama seperti China, Korea Selatan dan Jepun, menjadikan kemenangan itu sebagai pengiktirafan penting bagi animasi Malaysia dalam landskap kandungan serantau yang kompetitif.

Kejayaan BoBoiBoy Galaxy Baraju melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan francais BoBoiBoy, yang terus berkembang daripada harta intelek animasi tempatan Malaysia kepada jenama hiburan yang berjaya mencipta pengaruh di pasaran antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.