Kisah kecil, pesanan besar: Jalaluddin Hassan sampaikan makna Merdeka

Foto PETRA

KUALA LUMPUR, 2 September – Sebuah video berdurasi lapan minit sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang dikongsikan di laman Facebook Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menarik perhatian warganet menerusi pendekatan penceritaan yang dekat dengan kehidupan seharian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Video mengingatkan semangat Merdeka ialah menjaga, menghormati dan menyayangi negara dalam kehidupan seharian.
  • Lakonan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai datuk bersama cucu menggambarkan nilai pengorbanan, perpaduan dan amanah.
  • Datuk Seri Fadillah menyeru rakyat memelihara kedaulatan, menghormati perbezaan dan memperkukuh semangat kebersamaan.

Mengangkat tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, video berkenaan tidak mengetengahkan kemeriahan perarakan atau gimik besar, sebaliknya menampilkan kisah ringkas mengenai hubungan seorang datuk dan cucunya.

Seniman veteran, Datuk Jalaluddin Hassan, membawakan watak seorang datuk yang bersantai bersama cucunya, dilakonkan bintang cilik Zarra Zhaf, yang sebelum ini membintangi filem seram Khadam.

Menerusi perbualan ringkas antara kedua-dua watak, penonton dibawa menghayati mesej mengenai pengorbanan, perpaduan dan amanah dalam memelihara negara.

Pendekatan berkenaan menjadikan video itu lebih kepada sebuah peringatan bahawa semangat Merdeka bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi turut diterjemahkan menerusi usaha menjaga, menghormati dan menyayangi negara dalam kehidupan seharian.

Turut diselitkan amanat khas Datuk Seri Fadillah yang mengajak rakyat bersama-sama memelihara kedaulatan negara, menghormati perbezaan serta memperkukuh semangat kebersamaan.

“Malaysia adalah milik kita bersama, peliharalah kedaulatannya, hormatilah perbezaannya dan perkukuhkanlah semangat kebersamaan agar negara kita terus gemilang pada mata dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat menyemarakkan rasa cinta, tanggungjawab dan kesetiaan kepada tanah air serta mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyemarakkan sambutan Merdeka menerusi mesej yang lebih bermakna dan dekat dengan masyarakat.

Video penuh boleh ditonton menerusi akaun rasmi PETRA di Facebook, Instagram, TikTok dan X.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.