
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – 91 rakyat Malaysia sehingga kini, masih belum dapat dihubungi susulan bencana di Nepal serta gangguan perjalanan di China.
- Kedutaan di Kathmandu dan Beijing bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan kepastian mengenai keselamatan rakyat Malaysia.
- Maklumat disemak silang bagi mengenal pasti pertindihan laporan; Bilik Gerakan Kementerian Luar beroperasi sepanjang masa menyelaras maklumat.
- Kedutaan memberi bantuan konsular serta panduan prosedur; ahli keluarga boleh hubungi talian Kementerian Luar; orang ramai diminta elak spekulasi.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan 55 individu di Nepal dan 36 individu di China.
“Tiga rakyat Malaysia yang dilaporkan pihak berkuasa Xizang sebagai antara warga asing yang masih belum dapat dikesan susulan kejadian tanah runtuh di Pelabuhan Gyirong pada 26 Ogos lalu.
“Mereka adalah sebahagian daripada 36 rakyat Malaysia yang dilaporkan sebelum ini dan bukan kes tambahan, ” menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar juga memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan di kedua-dua negara bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Maklumat yang diterima turut disemak silang bagi mengenal pasti sebarang pertindihan laporan.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut meneruskan bantuan konsular kepada ahli keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Bantuan diberikan termasuk, menyalurkan perkembangan terkini, memberikan panduan berkaitan prosedur tempatan serta membantu urusan dengan pihak berkuasa Nepal,” menurut Wisma Putra.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dan Beijing juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa di kedua-dua negara bagi mendapatkan akses ke kawasan berhampiran lokasi terjejas.
Bagaimanapun, sebarang pergerakan pegawai Malaysia ke kawasan berkenaan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta mengambil kira keadaan keselamatan dan akses semasa di lapangan.
Bilik Gerakan Kementerian Luar Negeri di Putrajaya turut beroperasi sepanjang masa bagi menyelaras maklumat serta membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Kementerian Luar menerusi talian +603 8887 4570.
Dalam masa sama, orang ramai digesa agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sementara usaha menghubungi serta memastikan keselamatan rakyat Malaysia berkenaan masih diteruskan.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan berdasarkan maklumat yang telah disahkan menerusi saluran rasmi Kementerian Luar.