Golongan muda bumiputera diseru ceburi pertanian

Foto FB Mohamad Sabu

SERDANG, 30 Ogos – Golongan muda, khususnya bumiputera, digalakkan menceburi bidang pertanian secara sepenuh masa dan menjadikannya sebagai kerjaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anak muda bumiputera, termasuk bekas profesional, beralih kepada pertanian berskala besar.
  • Menteri menyeru tumpukan perhatian sepenuh masa jika mahu menjadikan pertanian sebagai kerjaya; kerja sambilan untuk keperluan rumah.
  • MARDI perkenal Melomax 1 dan Melomax 2 serta ubi keledek V8, varieti baharu hasil tinggi, ubi matang sekitar 90 hari.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian berskala besar kini semakin ketara, termasuk dalam kalangan mereka yang sebelum ini mempunyai latar belakang profesional.

“Alhamdulillah, hari ini diperkenalkan limau bali baharu dan varieti baharu ubi keledek. Yang menggembirakan saya ialah terdapat anak-anak muda bumiputera yang terlibat secara sepenuh masa.

“Mereka mungkin sebelum ini seorang jurutera, tetapi kini terlibat dalam bidang pertanian secara berskala besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran dua klon baharu limau bali, Melomax 1 dan Melomax 2, serta varieti baharu ubi keledek V8 yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di MAEPS, Serdang, hari ini.

Datuk Seri Mohamad berkata golongan muda perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang pertanian bagi membolehkan mereka bersaing dalam sektor berkenaan.

“Dan kita mahu juga bersaing dalam bidang ini kerana bumiputera boleh, namun tumpuan hendaklah diberi sepenuh masa,” katanya.

Beliau turut menambah penglibatan secara separuh masa dalam pertanian boleh dilakukan bagi memenuhi keperluan di peringkat rumah, namun bidang itu perlu diberi perhatian sepenuhnya sekiranya mahu dijadikan kerjaya.

“Tapi untuk kerjaya sekarang, saya nampak bumiputera dah ramai ceburi dalam bidang pertanian ini sepenuh masa,” katanya.

Sementara itu, MARDI memaklumkan dua klon limau bali baharu, Melomax 1 dan Melomax 2, serta varieti ubi keledek V8 merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan institusi berkenaan.

Melomax 1 mempunyai potensi hasil sehingga 40 tan sehektar setahun, manakala Melomax 2 sehingga 41 tan sehektar setahun.

Ubi keledek V8 pula mempunyai potensi hasil melebihi 26 tan sehektar dengan tempoh matang sekitar 90 hari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.