Program AI Untuk Rakyat tawar akses percuma kepada 100,000 belia bermula Isnin

Foto laman sesawang rakyatdigital.gov.my

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Program AI Untuk Rakyat yang menawarkan akses percuma kepada teknologi kecerdasan buatan (AI) akan bermula Isnin, dengan sasaran 100,000 belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun sehingga 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diisytiharkan Perdana Menteri sebagai satu daripada enam ikhtiar untuk membuka lebih banyak peluang digital kepada golongan belia.
  • Rakyat Digital ialah portal pembelajaran digital negara, inisiatif Kementerian Digital dikendalikan MyDIGITAL Corporation.
  • Modul merangkumi AI Nation 2030, CYBERSAFE, AI Generatif, Keselamatan AI, Agentik AI dan Cloud untuk Rakyat.
  • Peserta yang menamatkan modul mendapat langganan percuma tiga bulan dan akses alatan AI daripada pembekal tempatan dan antarabangsa.

Menurut kenyataan Kementerian Digital, program berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai satu daripada enam ikhtiar untuk rakyat bagi membuka lebih banyak peluang digital kepada golongan belia, bersempena Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Kementerian Digital turut memaklumkan Rakyat Digital merupakan portal pembelajaran digital negara, iaitu inisiatif kementerian yang diterajui MyDIGITAL Corporation.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperluas akses kepada teknologi kecerdasan buatan (AI), di samping membina pengetahuan, kemahiran dan keyakinan golongan belia dalam memanfaatkan teknologi AI secara bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar menjelaskan, Program AI untuk Rakyat merupakan satu langkah penting dalam memastikan golongan belia bukan sahaja memahami teknologi malah mempunyai akses kepada alat-alat yang boleh dimanfaatkan untuk pembelajaran, kreativiti dan peningkatan produktiviti.

“Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan manfaat AI dapat dirasai secara lebih meluas dan inklusif, selaras dengan aspirasi Kerajaan untuk membina masyarakat yang celik dan bersedia menghadapi masa depan digital,” katanya.

Program AI untuk Rakyat ditawarkan secara percuma kepada warganegara Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun melalui portal Rakyat Digital tertakluk kepada penyelesaian modul yang ditetapkan.

Modul tersebut merangkumi AI Nation 2030: Pendekatan MADANI, CYBERSAFE untuk Rakyat, AI Generatif, Keselamatan AI, Agentik AI untuk Semua dan Cloud untuk Rakyat.

Peserta yang berjaya menyempurnakan dan lulus kesemua modul kursus yang ditetapkan akan menikmati langganan percuma selama tiga bulan bagi pelbagai aplikasi dan perisian AI terpilih.

Sebagai permulaan, peserta yang layak akan menerima akses kepada alatan AI daripada penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa, termasuk IlmuChat oleh YTL AI Labs, Wonderclip dan MuleRun oleh Alibaba serta Gemini Enterprise oleh Google.

Kementerian Digital memaklumkan, lebih banyak perisian dan alatan AI daripada syarikat teknologi lain akan ditambah secara berperingkat bagi memberi peluang kepada golongan belia meneroka teknologi canggih secara praktikal, sekali gus meningkatkan kreativiti, produktiviti dan kemahiran digital mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.