
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah mencemar duli berangkat ke Program Malaysia #QuranHour 2026 yang berlangsung di Masjid Al-Sultan Abdullah Presint Merdeka 118 di sini pada Ahad.
- Malaysia #QuranHour 2026 tahun ke-12 bertema 'Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera'.
- Program sejam menumpu pengajaran Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah, Al-Muzzammil dan Al-Balad.
- Menggalakkan al-Quran sebagai panduan hidup dan penyelesaian kepada isu sosial serta kesihatan jiwa, sejajar sambutan Hari Kebangsaan.
Ketibaan Seri Paduka Baginda kira-kira pukul 12 tengah hari diiringi Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail serta ribuan jemaah yang memenuhi ruang masjid.
Malaysia #QuranHour 2026 yang memasuki tahun ke-12 mengangkat tema ‘Bingkas Menuju Malaysia Sejahtera’.
Program berlangsung selama sejam dengan pengisian memberi fokus khusus yang mengangkat pengajaran daripada surah-surah pilihan iaitu Surah Al-Fatihah, Surah Al-Baqarah, Surah Al-Muzzammil, dan Surah Al-Balad.
Pemilihan surah-surah ini bertujuan membimbing masyarakat untuk kembali menghayati nilai kepimpinan, modal insan, dan ketahanan jiwa dalam mendepani pelbagai cabaran hidup seiring dengan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang bakal berlangsung pada Isnin.
Sejajar dengan objektif utamanya, Malaysia #QuranHour menggalakkan masyarakat menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup utama serta penyelesaian konkrit kepada pelbagai isu sosial dan kesihatan jiwa.