Operasi Pembenihan Awan: Indonesia beri kebenaran akses ruang udara – Arthur

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Jospeh Kurup dalam sidang media di Kota Kinabalu, Sabah – Foto RTM

KOTA KINABALU, 30 Ogos – Indonesia telah memberi kebenaran sekiranya Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dijadualkan dari 3 hingga 5 September di kawasan selatan Sarawak, memerlukan penerbangan memasuki ruang udara negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia ulangi kesediaan hulur aset dan kepakaran untuk bantu Indonesia menanggani ancaman jerebu rentas sempadan.
  • METMalaysia bina sistem MYCMAQ untuk ramalan kualiti udara masa nyata dan dikongsi bersama negara-negara Asia.
  • Malaysia bawa isu ISPU tinggi ke peringkat ASEAN serta perkukuh pemantauan, perkongsian data dan tindakan awal.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Jospeh Kurup berkata, perkara itu telah dipersetujui selepas perbincangan dengan Menteri Lingkungan Hidup Republik Indonesia, Jumhur Hidayat.

“OPA yang dijadualkan dari 3 hingga 5 September memberi tumpuan kepada kawasan di selatan Sarawak.

“Sekiranya operasi berkenaan memerlukan penerbangan memasuki ruang udara Indonesia, perkara itu telah dipersetujui antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia turut mengulangi kesediaan menghulurkan bantuan aset dan kepakaran kepada Indonesia
bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah membangunkan Model Kualiti Udara Pelbagai Skala Komuniti Malaysia, (MYCMAQ), iaitu sistem yang mengukur ketepatan ramalan kualiti udara secara masa nyata.

Sistem berkenaan, katanya, turut dikongsi untuk digunakan bersama negara-negara di rantau Asia.

Beliau berkata, Indonesia kini berdepan bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU), melebihi 1,000 di beberapa kawasan iaitu, pada tahap amat berbahaya.

Malaysia membawa isu berkenaan ke peringkat ASEAN, selain memperkukuh pemantauan, perkongsian data dan tindakan awal.

Tegas Datuk Seri Arthur, kerjasama serantau penting kerana kesan jerebu tidak terhad kepada sesebuah negara.

Malaysia juga terus meningkatkan pemantauan kualiti udara dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan cuaca kering berpanjangan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.