
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 bertemakan “Malaysia MADANI:Kesejahteraan Dinikmati” membuka tirai secara rasmi di Dataran Putrajaya, pagi ini.
- Ketibaan dan pemeriksaan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong disusuli lintas hormat lima helikopter sambil lagu Negaraku berkumandang.
- Menaikkan Jalur Gemilang disertai 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat.
- Bacaan ikrar Rukun Negara dipimpin Timbalan Pesuruhjaya Bomba bersama 69 Wira Merah dan jurubahasa isyarat Nur Alyanatasha.
- Pertunjukan udara melibatkan TUDM, APMM, PDRM dan JBPM termasuk pesawat Sukhoi SU-30MKM, Hawk, A400M serta beberapa helikopter.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-69 itu dimulakan dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada pukul 8 pagi.
Sejurus Seri Paduka Baginda berdua mengambil tempat di Pentas Diraja, lima pesawat mengadakan lintas hormat, terdiri daripada tiga helikopter EC725, sebuah helikopter AgustaWestland AW109 dan sebuah Helikopter Operasi Maritim AW139, diiringi lagu kebangsaan, Negaraku.
Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum lagu Negaraku sekali lagi berkumandang mengiringi upacara menaikkan Jalur Gemilang, serentak dengan 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat.
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang dipimpin Timbalan Pesuruhjaya Bomba, Datuk Abdul Razak Muda bersama 69 Wira Merah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan iringan jurubahasa isyarat, Nur Alyanatasha.
Sambutan tahun ini membabitkan 10,819 peserta daripada 77 kontinjen, 22 pasukan pancaragam, 328 aset, 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan serta 11 kereta berhias.
Kesemua peserta mewakili pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.
Perbarisan dan perarakan tahun ini dibahagikan kepada enam komponen, iaitu Kenegaraan, Kesejahteraan, Ekonomi, Kelestarian Ekonomi Jingga, Ketenteraman Awam dan Keselamatan Negara.
Antara acara kemuncak yang menjadi tumpuan ialah pertunjukan udara membabitkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta JBPM.
Pertunjukan berkenaan menampilkan pelbagai formasi aset udara termasuk pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM dan Hawk, pesawat pengangkut A400M serta beberapa helikopter.
Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail disambut dengan laungan “Malaysia MADANI” sebanyak tiga kali yang bergema di Dataran Putrajaya.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, barisan Jemaah Menteri termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, diplomat, perwakilan asing serta dif kenamaan.