Angka korban banjir di Nepal, Tibet meningkat kepada 804 orang

Polis membawa mayat mangsa banjir kilat dan tanah runtuh ke tapak pengebumian beramai-ramai di Chitwan, Nepal/Foto REUTERS

DEVIGHAT, NUWAKOT (Nepal), 31 Ogos – Angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang dahsyat di Nepal serta wilayah Tibet, meningkat kepada 804 orang, manakala hampir 3,300 lagi masih hilang, lapor Anadolu Ajansi memetik angka terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa dan media tempatan pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis Nepal menemukan 788 mayat; 2,742 masih hilang termasuk ratusan warga asing.
  • Pihak berkuasa China melaporkan 16 kematian dan 546 orang hilang di wilayah Tibet.
  • Operasi SAR mengesan 2,498 orang hilang, termasuk 933 pekerja hidroelektrik dan 589 warga asing.
  • Hampir 20,000 anggota keselamatan menyelamatkan 8,186; helikopter pindahkan pekerja dan warga asing, bantuan makanan serta perubatan dihantar.

Di Nepal, pihak polis berkata 788 mayat ditemukan di kawasan terjejas banjir, manakala 2,742 orang masih hilang termasuk ratusan warga asing. Pihak berkuasa China pula melaporkan 16 kematian dan 546 orang hilang di Tibet.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan 2,498 orang yang masih hilang, termasuk 933 pekerja projek hidroelektrik, 589 warga asing, 127 rakyat Nepal yang melakukan perjalanan bersama pelancong asing serta penduduk dari beberapa daerah terjejas, menurut sumber tempatan.

Hampir 20,000 anggota keselamatan berjaya menyelamatkan 8,186 orang, manakala operasi menggunakan helikopter telah memindahkan 279 pekerja hidroelektrik dan 227 warga asing ke tempat selamat.

Usaha membantu mangsa terus dipergiat dengan penghantaran makanan dan keperluan asas, pengerahan pasukan perubatan serta pengagihan bantuan tunai kerajaan, lapor Nepal News.

Anggota tentera Nepal membawa mayat mangsa yang dipindahkan melalui udara susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nuwakot/Foto REUTERS

Bencana itu melanda kawasan sempadan China-Nepal pada Rabu apabila glasier runtuh secara tiba-tiba hingga mencetuskan aliran deras air dan puing melalui lembah Himalaya, memusnahkan perkampungan serta menyebabkan kerosakan terhadap infrastruktur utama.

Operasi SAR turut berdepan kesukaran akibat bentuk muka bumi, kawasan pergunungan curam dan gaung sempit.

Nepal memohon bantuan kepakaran bagi operasi menyelamat dalam terowong, teknologi pengesanan mangsa yang terselamat, analisis forensik dan DNA serta peralatan untuk mengawet mayat yang ditemukan.

Pasukan tinjauan operasi menyelamat terowong seramai 11 anggota dari India telah tiba bagi membantu operasi itu. – BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.