Tujuh negara bertemu di Istanbul bincang isu Palestin

Foto AFP

ISTANBUL, 22 Oktober – Menteri luar Britain, Perancis dan Jerman akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Mesir di Istanbul pada Jumaat bagi membincangkan beberapa isu termasuk Palestin, perkembangan di Yaman serta usaha menamatkan perang Rusia-Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertemuan pertama tujuh negara dalam format R4+E3 dihimpunkan bagi menyelaraskan kerjasama antara kedua-dua kumpulan.
  • Hakan Fidan dijangka menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung peluasan penempatan di Tebing Barat.
  • Beliau juga akan menegaskan sokongan keselamatan Arab Saudi susulan serangan Houthi serta memastikan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz dan Bab el-Mandeb.

Sumber Kementerian Luar Turkiye berkata, pertemuan  itu akan menghimpunkan buat kali pertama tujuh negara berkenaan dalam format R4+E3.

Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata pertemuan itu yang turut membincangkan perkembangan di Selat Hormuz serta peluang kerjasama dan penyelarasan antara kedua-dua kumpulan.

Kumpulan E3 yang terdiri daripada Britain, Perancis dan Jerman akan bertemu kumpulan R4 yang baru ditubuhkan, merangkumi Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Mesir.

Menurut sumber itu, Fidan dijangka menggesa masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung peluasan penempatan di Tebing Barat serta tindakan yang didakwa menggalakkan keganasan oleh peneroka.

Beliau juga dijangka menegaskan sokongan terhadap keselamatan Arab Saudi susulan serangan kumpulan Houthi dari Yaman, selain memastikan kebebasan pelayaran secara berterusan di Selat Hormuz dan Selat Bab el-Mandeb.

Selain itu, Fidan akan turut mengulangi amaran dan cadangan Turkiye bagi mengelakkan perang Rusia-Ukraine merebak ke Laut Hitam serta menghentikan kematian orang awam di kawasan berkenaan.

Kumpulan E3 ditubuhkan lebih 20 tahun lalu bagi menyelaraskan usaha diplomatik berhubung program nuklear Iran.

Sementara itu, kumpulan R4 dibentuk tahun ini, menghimpunkan Mesir bersama negara yang memeterai Perjanjian Pertahanan Mekah, iaitu Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan, yang merupakan pakatan pertahanan bersama dimeterai pada Ogos lalu. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.