Guru besar selamatkan 900 pelajar daripada banjir di Nepal

Kanak-kanak yang dipindahkan akibat banjir kilat dan tanah runtuh berlindung di sebuah hospital di Nuwakot, Nepal/Foto REUTERS

KATHMANDU, 31 Ogos – Tindakan pantas seorang guru besar di Nepal dipercayai berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 900 pelajar selepas beliau mengarahkan pemindahan segera hanya beberapa minit sebelum gelombang banjir besar melanda sekolahnya, lapor agensi berita Jerman dpa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Guru besar Rajenda Dawadi menerima panggilan amaran kira-kira 15 minit sebelum banjir melanda kawasan sekolah.
  • Pelajar bergegas keluar berjalan kaki; suasana panik, seorang pelajar pengsan dan dibawa ke hospital; bas diarahkan berpatah balik.
  • Banjir di tebing Sungai Trishuli memusnahkan perkampungan, merosakkan sekolah, menyebabkan sekurang-kurangnya 800 kematian dan lebih 3,000 hilang.

Guru Besar Sekolah Menengah Tribhuvan Trishuli di daerah Nuwakot, Rajenda Dawadi memberitahu dpa pada Ahad bahawa beliau mengetahui mengenai banjir yang semakin menghampiri menerusi beberapa panggilan telefon kira-kira 15 minit sebelum ia melanda kawasan berkenaan.

“Saya berkata kepada diri sendiri: jika tiada banjir, kami hanya kehilangan satu hari persekolahan.

“Tetapi jika banjir benar-benar berlaku, kami semua mungkin kehilangan nyawa,” kata Dawadi ketika menjelaskan keputusannya mengarahkan pemindahan segera.

Seramai 900 pelajar di sekolah itu segera menyelamatkan diri dengan berjalan kaki.

Keadaan panik tercetus seketika ketika mereka bergegas keluar, manakala seorang pelajar perempuan dibawa ke hospital dengan motosikal selepas pengsan.

Dawadi turut sempat mengarahkan bas sekolah yang dilaporkan membawa ratusan lagi pelajar dalam perjalanan ke sekolah supaya berpatah balik.

“Jika kami membuat keputusan itu 10 minit kemudian, kami semua, termasuk pelajar dan saya sendiri, mungkin tidak dapat bercakap dengan anda hari ini,” katanya kepada BBC.

Sekolah itu terletak di tebing Sungai Trishuli yang dilanda gelombang banjir besar pada Rabu.

Anggota tentera Nepal membawa mayat mangsa yang dipindahkan melalui udara susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nuwakot/Foto REUTERS

Angka korban akibat banjir itu meningkat kepada lebih 800 orang di Nepal dan China, dengan beberapa perkampungan musnah selain kerugian ekonomi yang besar.

Lebih 3,000 orang masih hilang di kedua-dua belah sempadan, termasuk ratusan warga asing.

Seorang daripada pelajar yang diselamatkan Dawadi, Yunisha, 16, memberitahu BBC bahawa dia sempat tiba di tempat selamat hanya beberapa saat sebelum banjir melanda dengan berlari menaiki kawasan berbukit melalui laluan berlumpur di belakang sekolah, manakala perkampungan di belakangnya musnah akibat dihanyutkan arus dan puing.

Dawadi berkata hampir tiada apa yang tinggal daripada bangunan sekolah itu.

Sekurang-kurangnya seorang kakitangan sekolah maut dalam banjir berkenaan. – BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.