Lebih 20 dikhuatiri hilang susulan banjir kilat di Grand Canyon, AS

Banjir kilat berlaku di Bright Angel Canyon dan kawasan Phantom Ranch/Foto orang awam Facebook

LOS ANGELES, 31 Ogos – Lebih 20 orang mungkin hilang atau belum dapat dikesan susulan kejadian banjir kilat di Taman Negara Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa pada Ahad, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banjir kilat melanda Bright Angel Canyon dan kawasan Phantom Ranch.
  • Agensi menggesa orang yang mempunyai maklumat tentang pendaki di koridor Bright Angel Creek untuk melapor.
  • Usaha pemindahan dan tindak balas sedang diteruskan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Awam, evakuasi awal telah dijalankan.
  • Infrastruktur rosak teruk, hampir semua jambatan pejalan kaki musnah, beberapa bahagian taman dan Sungai Colorado ditutup sementara.

Perkhidmatan Taman Negara AS dalam kenyataan berkata kejadian itu berlaku di Bright Angel Canyon dan kawasan Phantom Ranch pada Sabtu.

Agensi itu menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai pendaki atau pengembara yang berada di kawasan pedalaman ngarai sepanjang koridor Bright Angel Creek pada 29 Ogos, serta mereka yang mempunyai tempahan tapak perkhemahan di kawasan terjejas, supaya menyalurkan maklumat kepada Bahagian Perkhidmatan Siasatan Perkhidmatan Taman Negara.

Pegawai taman berkata usaha pemindahan dan tindak balas sedang diteruskan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Awam Arizona, sambil berusaha mengesan individu yang dipercayai berada di kawasan terjejas.

Dalam kenyataan terdahulu, pegawai taman berkata seramai 62 orang telah dipindahkan dari kawasan itu setakat pagi Ahad, manakala pemindahan tambahan dijadualkan kemudian pada hari sama.

Banjir kilat itu menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur di seluruh Bright Angel Canyon.

Hampir semua jambatan pejalan kaki yang merentasi Bright Angel Creek musnah, menyebabkan pendaki tidak dapat menyeberangi anak sungai itu, menurut pegawai taman.

Pegawai berkata beberapa bahagian Taman Negara Grand Canyon ditutup, manakala Sungai Colorado turut ditutup sehingga dimaklumkan kelak susulan struktur logam dan puing memasuki sungai berkenaan.

Mereka turut memberi amaran bahawa ribut petir dan hujan lebat tambahan berkemungkinan berlaku pada Ahad dan Isnin, yang boleh mencetuskan banjir kilat, aliran puing serta runtuhan batu, selain mengubah keadaan laluan pendakian dan sungai. – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.