
TRIPOLI, 31 Ogos – Wakil kumpulan politik yang bertelagah di Libya menandatangani perjanjian disokong Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dalam usaha membuka laluan kepada pilihan raya nasional yang telah lama tertangguh.
- Libya terus berdepan perpecahan sejak 2011; dua kerajaan bersaing, Tripoli diiktiraf PBB, timur disokong komander Khalifa Haftar.
- Naib Presiden Majlis Presiden Moussa al-Koni anggap perjanjian peluang tamatkan perpecahan politik, wakil timur kata beberapa persetujuan penting dicapai.
- Ketua UNSMIL Hanna Tetteh sokong penstrukturan semula Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Tertinggi dan gesa persetujuan diterjemah kepada tindakan konkrit.
Perjanjian hasil rundingan di Rome dan Tunis itu ditandatangani di ibu pejabat Misi Sokongan PBB di Libya (UNSMIL) di Tripoli, dengan Ketua UNSMIL, Hanna Tetteh turut hadir.
Naib Presiden Majlis Presiden Libya, Moussa al-Koni menyifatkan perjanjian itu sebagai peluang untuk menamatkan perpecahan politik yang berlarutan sekian lama, manakala wakil dari timur, Abdul Rahman Al-Abbar berkata kedua-dua pihak telah mencapai beberapa persetujuan penting.
Libya masih berdepan perpecahan politik sejak kebangkitan 2011 yang menggulingkan pemerintah Muammar Gaddafi.
Ketika ini, dua kerajaan bersaing untuk menguasai negara itu, iaitu pentadbiran yang diiktiraf PBB di Tripoli dan kerajaan saingan di timur yang disokong komander tentera Khalifa Haftar.
Tetteh mengalu-alukan perjanjian itu yang antara lain meliputi penstrukturan semula Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Tertinggi, namun menggesa supaya persetujuan berkenaan diterjemahkan kepada tindakan konkrit.
Pilihan raya presiden yang dijadualkan pada akhir 2021 ditangguhkan tanpa tarikh baharu susulan pertikaian mengenai kelayakan calon serta kaedah pelaksanaan pilihan raya presiden dan legislatif.
Perjanjian terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi usaha untuk menyatukan institusi dan membuka jalan kepada pilihan raya dalam negara yang masih berdepan perpecahan politik. – AFP