Hantaran terakhir Joey di Facebook terharu layanan ‘first class’ Istana Budaya

Swafoto terakhir Joey BPR yang terharu atas layanan ‘First Class’ Istana Budaya/Foto Facebook Joey BPR

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – “Semuanya First Class” menjadi antara catatan terakhir penyanyi kumpulan rock Bumiputra Rockers (BPR), Johari Mat Rozekhi atau Joey, menerusi hantaran di Facebook sehari sebelum pemergiannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Joey membuat persembahan terakhir dalam program Pesona Malaysia: Laman Santai di Istana Budaya, malam sebelum pemergiannya.
  • Beliau meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur; berita duka disampaikan isterinya melalui hantaran Facebook.
  • Mempunyai legasi lebih empat dekad bersama BPR, dikenali melalui lagu seperti Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata, Seribu Tahun Takkan Mungkin.

Allahyarham sempat membuat persembahan dalam program Pesona Malaysia: Laman Santai di Istana Budaya, malam tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi ini.

Dalam hantaran berkenaan, Joey meluahkan rasa terharu selepas menerima layanan istimewa ketika berada di Istana Budaya, termasuk diberikan tempat letak kenderaan betul-betul di hadapan tangga pintu masuk serta bilik utama.

“Dia kata santai, tapi lebih dari VIP. Very special treatment. Aku betul-betul terharu. Dia bagi aku parking betul-betul depan tangga entrance. Bilik utama. Semuanya First Class,” tulisnya.

Joey, 63, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 8.11 pagi hari ini.

Berita duka itu disampaikan isterinya, Zarinah Zainal menerusi hantaran di Facebook.

Persembahan terakhir Joey dalam program Pesona Malaysia: Laman Santai di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi/Foto Istana Budaya

“Assalamualaikum w.b.t. Saya, isteri kepada Johari Mat Rozekhi (Joey BPR) ingin memberitahu bahawa Johari telah kembali ke rahmatullah pada 29 Ogos 2026, pukul 8.11 pagi di Hospital Kuala Lumpur sebentar tadi.

“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah,” katanya.

Allahyarham mula mencipta nama bersama BPR sekitar 1985 dan meninggalkan legasi lebih empat dekad dalam industri muzik tanah air.

Bersama BPR, Allahyarham dikenali menerusi lagu popular seperti Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin yang terus dikenang peminat muzik rock tanah air.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.