
KUALA LUMPUR, 29 Ogos — RIUH Merdeka kembali ke Putrajaya buat kali kedua selama dua hari bermula esok, dengan mengetengahkan kepelbagaian seni, budaya dan kreativiti masyarakat di tapak parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya.
- Penglibatan komuniti Orang Asli: permainan tradisional kecang, alat muzik pansul dan bengkel berkongsi kemahiran serta warisan budaya.
- Program menyediakan 19 bengkel kreatif dan 18 artis membuat persembahan, memberi ruang kepada artis akar umbi untuk diketengahkan.
- Semua aktiviti dan persembahan percuma, pengunjung hanya membayar makanan minuman, serta menikmati jualan daripada 30 jenama tempatan.
Pengurus Pemasaran dan Promosi RIUH, Faliq Effendy berkata, edisi kali ini turut menampilkan penglibatan komuniti Orang Asli menerusi permainan tradisional kecang dan alat muzik pansul.
Katanya, wakil dari kampung Orang Asli turut mengendalikan bengkel kreatif bagi berkongsi kemahiran serta warisan budaya mereka dengan pengunjung.
“Sebanyak 19 bengkel kreatif disediakan, manakala 18 artis dijadualkan membuat persembahan, termasuk Aniza Idris, Ernie Zakri, Anuar Zain dan Hafiz Suip.
“RIUH turut memberi ruang kepada artis akar umbi untuk diketengahkan,” katanya.
Beliau berkata, program berkenaan turut mengetengahkan elemen kreatif pelbagai kaum, termasuk majong, selain gabungan tarian zumba dan muzik manggra.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan serta jualan daripada 30 jenama tempatan.
Pada 30 Ogos, program berlangsung dari 2 petang hingga 4 pagi, sebelum disambung selepas perarakan Hari Kebangsaan sehingga 2 petang pada 31 Ogos.
Kesemua aktiviti dan persembahan adalah percuma, manakala pengunjung hanya perlu membayar makanan dan minuman yang dibeli.