
KOTA BHARU, 31 Ogos – Laungan “Merdeka”, kibaran Jalur Gemilang dan semangat patriotik mewarnai Sambutan Ambang Hari Kebangsaan apabila puluhan ribu rakyat membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
- Sebanyak 69 kontinjen menyertai perbarisan sempena ulang tahun kemerdekaan negeri Kelantan.
- Pelbagai pengisian termasuk Malam Munajat Merdeka, persembahan seni, pertunjukan bunga api serta persembahan lagu patriotik memeriahkan sambutan.
- Kehadiran ramai keluarga dan inisiatif melibatkan golongan muda menyemai semangat patriotik serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu.
Sebanyak 69 kontinjen, selaras dengan ulang tahun ke-69 kemerdekaan negara, menyertai acara perbarisan sempena Sambutan Ambang Hari Kebangsaan peringkat negeri Kelantan di stadium berkenaan.
Kehadiran orang ramai bermula seawal jam 5 petang, dengan majoritinya hadir bersama keluarga bagi menghayati pelbagai pengisian sambutan, termasuk Malam Munajat Merdeka sebelum berarak masuk ke stadium selepas solat Isyak berjemaah.
Seorang pengunjung, Nur Alwani Abdul Rahman, berkata kehadirannya tahun ini adalah atas permintaan empat anaknya yang mahu merasai semula kemeriahan sambutan seperti tahun lalu.
Katanya, dia turut menyediakan pakaian bertemakan kemerdekaan untuk anak-anaknya dan tidak menyangka mereka berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan pakaian bertemakan kemerdekaan.
Beliau berkata rakyat Malaysia perlu menghargai dan berbangga dengan pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang memastikan negara bebas daripada penjajahan sehingga mampu mencapai kemajuan seperti hari ini.
Nur Alwani turut berharap sambutan seumpama itu diteruskan setiap tahun, selain lebih banyak aktiviti melibatkan golongan belia dianjurkan bagi menyemarakkan rasa cinta kepada negara.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Nur Fatihah Hadibudin, berkata dia sanggup mengambil cuti berniaga untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan bagi menyambut Ambang Hari Kebangsaan.
Katanya, sambutan tahun ini dilihat lebih meriah berbanding tahun lalu, dengan kehadiran rakyat Kelantan yang memenuhi stadium.
Bagi Nur Hazwani Mustafa, sambutan berkenaan merupakan pengalaman pertama buatnya selepas membawa anak-anak bagi merasai sendiri suasana sambutan kemerdekaan.
Katanya, usaha itu penting bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai erti kemerdekaan dan kebebasan negara daripada penjajahan.
Pelbagai pengisian turut disajikan kepada pengunjung, antaranya Malam Munajat Merdeka, Simfoni Pergendangan, persembahan tempur tanpa senjata, seni mempertahankan diri serta persembahan lagu-lagu patriotik.
Sambutan kemudian dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak menjelang detik 12 tengah malam.
Kemeriahan itu sekali gus mencerminkan semangat rakyat Kelantan dalam meraikan kemerdekaan, selain menyemai rasa cinta dan bangga sebagai rakyat Malaysia dalam kalangan generasi muda.