AI buka peluang baharu dalam industri kreatif

Pensyarah Seni Kreatif dan Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Amar Reza Zainalabidin

KUALA LUMPUR, 17 Oktober – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) mampu membuka peluang baharu dalam industri kreatif, khususnya mempercepatkan penghasilan kandungan, seni dan persembahan tanpa mengetepikan keaslian serta identiti pengkarya.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI perlu dimanfaatkan sebagai alat bantuan; keaslian dan identiti karya tetap berasal daripada pengkarya.
  • Penggiat perlu menyesuaikan diri dan menguasai teknologi; elakkan kebergantungan yang mengehadkan kreativiti.
  • AI berpotensi membantu lebih ramai meneroka idea kreatif dan merealisasikan kandungan sukar dicapai sebelum ini.

Pensyarah Seni Kreatif dan Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Amar Reza Zainalabidin berkata, AI perlu dimanfaatkan sebagai alat bantuan bagi memudahkan proses penghasilan karya, manakala nilai kreativiti tetap bergantung kepada idea dan identiti individu yang menghasilkannya.

Menurutnya, perkembangan teknologi itu menuntut penggiat industri kreatif untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan semasa, selain menguasai kemahiran teknologi dan pemikiran kreatif.

“Pada saya, kita melihat AI ini sebagai satu tool yang membantu kita untuk mempercepatkan sesuatu pekerjaan ataupun penghasilan sesuatu karya contohnya. Jadi, keaslian karya itu sendiri adalah pada pemiliknya, pada yang membuatnya. AI sekadar membantu sahaja, sebagai alat untuk membantu sahaja.

“Walau bagaimanapun, kehebatan karya itu, saya cakap karya sebab saya adalah seorang penggiat kreatif. jadinya, kehebatan karya itu adalah bergantung kepada keaslian dan identiti dari pengkarya,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Tambah beliau, antara cabaran utama penggunaan AI ialah risiko kebergantungan berlebihan terhadap teknologi itu sehingga boleh mengehadkan keupayaan berfikir dan kreativiti seseorang pengkarya.

Jelasnya, kemahiran berfikir perlu bergerak seiring dengan penguasaan teknologi bagi memastikan AI dimanfaatkan secara berkesan tanpa mengabaikan keupayaan manusia menghasilkan idea dan karya asli.

Beliau turut berpandangan, penggunaan AI berpotensi membantu lebih ramai rakyat meneroka idea kreatif yang sebelum ini sukar direalisasikan, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk penghasilan kandungan kreatif.##

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.