
SAUDARA PENGARANG
- Belanjawan mesti menyokong kebajikan dan pembangunan potensi belia melalui bantuan kewangan, kemudahan pendidikan, latihan berbayar dan peluang pekerjaan bermakna.
- Pelaksanaan perlu bersasar, mengambil kira kepelbagaian keadaan penerima, pemantauan berterusan dan penilaian impak bukan hanya bilangan peserta.
- Libatkan belia sejak peringkat perancangan, kukuhkan peranan pembimbing, sokong kesihatan mental dan berikan bimbingan digital beretika.
Golongan belia sedang melalui fasa penting dalam kehidupan, ketika mereka membina identiti, mengembangkan kemahiran dan mula memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Ada yang masih menuntut, ada yang baru memasuki alam pekerjaan, manakala sebahagian lagi membantu menyara keluarga.
Oleh itu, keberkesanan Belanjawan MADANI 2027 perlu dinilai bukan sahaja melalui jumlah peruntukan, tetapi juga sejauh mana langkah yang diumumkan dapat membantu belia membina kehidupan yang lebih stabil dan mengembangkan potensi diri.
Bagi golongan ini, tekanan kewangan boleh mengehadkan peluang untuk belajar, menyertai aktiviti kampus atau mendapatkan pengalaman kerja yang berkualiti. Mahasiswa yang perlu bekerja sehingga lewat malam, misalnya, mungkin mempunyai masa yang lebih terhad untuk pengajian dan kegiatan pembangunan diri.
Graduan yang menanggung keluarga pula mungkin terpaksa menerima pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan. Keadaan ini perlu difahami dalam konteks cabaran hidup mereka, bukan terus dianggap sebagai kekurangan motivasi atau kesungguhan.
Peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion berpotensi membantu mengurangkan tekanan kewangan keluarga, termasuk keluarga yang mempunyai anak sedang belajar.
Namun, keperluan belia tidak seragam kerana dipengaruhi oleh lokasi tempat tinggal, jumlah tanggungan dan akses kepada kemudahan asas. Pelaksanaan bantuan perlu mengambil kira keadaan sebenar penerima, terutama keluarga yang kehilangan pendapatan atau berdepan perubahan kewangan secara mendadak.
Bagi mahasiswa, makanan dan kediaman yang mencukupi merupakan asas kepada kelangsungan pengajian. Peluasan Dapur Siswa MADANI dengan peruntukan RM20 juta, termasuk Menu Kasih Siswa RM5, perlu disokong dengan bekalan makanan berkhasiat yang konsisten.
Begitu juga peruntukan RM800 juta bagi prasarana pendidikan tinggi dan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) sebanyak RM750 juta untuk Vista Kampus.
Pelaburan ini perlu diterjemahkan kepada kemudahan yang selamat, selesa dan mudah diakses, tanpa mengabaikan keperluan mahasiswa sementara projek dilaksanakan.
Pada masa yang sama, kebajikan asas perlu bergerak seiring dengan usaha membangunkan potensi mahasiswa. Peruntukan RM19.1 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi wajar menyokong pengalaman pembelajaran yang membina keyakinan, kemahiran komunikasi dan keupayaan membuat pertimbangan.
Mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengemukakan pandangan, mengurus projek dan menyelesaikan masalah. Pengalaman sedemikian membantu mereka mengenali kekuatan diri, memperbaiki kelemahan dan bersedia menghadapi cabaran selepas tamat pengajian.
Potensi belia berkembang dengan lebih baik apabila mereka mendapat peluang serta sokongan daripada orang di sekeliling. Pensyarah, mentor, jurulatih dan pemimpin komuniti boleh memainkan peranan sebagai pembimbing yang membantu belia mendapatkan panduan, menerima teguran dan bangkit selepas menghadapi kegagalan.
Oleh itu, pelaburan dalam program pembangunan belia perlu disertai usaha memperkukuh peranan pembimbing, bukan hanya tertumpu pada pembiayaan aktiviti dan penyediaan kemudahan.
Kokurikulum dan kesukarelawanan pula menjadi ruang pembelajaran di luar bilik kuliah. Melalui projek komuniti, mahasiswa belajar memahami keperluan masyarakat, berunding dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
Inisiatif Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100, tertakluk pada syarat kesukarelawanan, berpotensi menggalakkan penyertaan.
Namun, program seumpama ini perlu dirancang supaya belia bukan sekadar memenuhi syarat untuk menerima insentif, tetapi turut memahami tujuan khidmat masyarakat dan membina hubungan yang bermakna dengan komuniti.
Penglibatan belia dalam program juga perlu melangkaui peranan sebagai peserta. Mereka wajar dilibatkan sejak peringkat mengenal pasti masalah, merancang aktiviti hingga menilai hasil pelaksanaan.
Orang dewasa boleh memberikan bimbingan dan membantu mengurus risiko, manakala belia menyumbang pandangan serta pengalaman mereka.
Apabila suara belia diambil kira dalam proses membuat keputusan, mereka berpeluang membina rasa tanggungjawab dan keyakinan untuk memimpin. Sebaliknya, program yang ditentukan sepenuhnya oleh pihak lain boleh mengehadkan ruang mereka untuk belajar membuat keputusan.
Peralihan daripada alam pengajian kepada pekerjaan juga perlu diberi perhatian. Sasaran mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan baharu melalui Bakat MADANI perlu diterjemahkan kepada penempatan yang menawarkan pengalaman, pendapatan dan ruang perkembangan kerjaya.
Pengumuman kerangka gaji minimum RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dangraduan pula memerlukan penjelasan lanjut tentang skop serta pelaksanaannya. Pekerjaan pertama bukan sahaja mempengaruhi pendapatan belia, malah membentuk keyakinanmereka terhadap nilai pendidikan dan keupayaan merancang masa depan.
Latihan industri berbayar, bimbingan kerjaya dan kerjasama berterusan dengan majikan boleh membantu graduan memasuki pasaran kerja. Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak sepatutnya terpaksa menolak peluang latihan yang berkualiti kerana tidak mampu menanggung kos perjalanan atau penginapan.
Institusi pengajian tinggi boleh membantu melalui sokongan bersasar serta pemantauan mutu penempatan. Latihan industri juga perlu memberikan tugasan yang relevan, maklum balas dan peluang menggunakan kemahiran, bukannya sekadar memenuhi tempoh yang ditetapkan.
Dari sudut kemahiran digital, tambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) percuma serta akses kepada lebih 16,000 kursus dan program Sijil Profesional melalui
Rakyat Digital berpotensi memperluas peluang pembelajaran. Namun, akses kepada teknologi sahaja tidak mencukupi. Belia perlu dibimbing untuk menyemak kesahihan maklumat, memahami batas penggunaan AI dan menjaga integriti.
Ketersediaan peranti, capaian internet dan bimbingan yang sesuai turut menentukan sama ada peluang ini dapat dimanfaatkan secara saksama.
Belanjawan yang berkesan juga perlu mengambil kira daya tahan dan kesejahteraan belia. Tekanan kewangan, tanggungjawab keluarga dan tuntutan pengajian boleh berlaku serentak. Justeru, belia tidak boleh dibiarkan mengurus cabaran ini tanpa sokongan yang sesuai.
Perkhidmatan kaunseling, bimbingan mentor dan bantuan kecemasan perlu mudah dicapai. Kesediaan mendapatkan pertolongan sewajarnya dilihat sebagai sebahagian daripada kemahiran mengurus kehidupan, bukannya tanda kelemahan.
Keberkesanan pelaburan dalam pembangunan belia akhirnya perlu dinilai berdasarkan perubahan yang berlaku selepas sesuatu program selesai dan selepas mahasiswa bergraduasi.
Adakah mereka mendapat pekerjaan yang bersesuaian, mampu mengurus kewangan dan terus meningkatkan kemahiran? Adakah belia daripada keluarga kurang berkemampuan memperoleh peluang yang lebih baik?
Penilaian dan penjejakan secara berterusan dapat membantu pihak pelaksana mengenal pasti kesan sebenar program serta memperbaiki kelemahan yang mungkin tidak dapat dilihat melalui jumlah peserta atau sijil yang dikeluarkan semata-mata.
Belanjawan 2027 menyediakan peluang untuk memperkukuh asas kehidupan dan masa depan belia. Kejayaannya bergantung pada pelaksanaan bantuan yang tepat pada waktunya, peluang yang adil serta program pembangunan yang berkualiti.
Belia juga perlu diberikan kepercayaan untuk menyumbang dan terlibat dalam keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Apabila kebajikan, pembangunan potensi dan penyertaan bermakna bergerak seiring, pelaburan negara bukan sahaja membantu belia menghadapi cabaran hari ini, malah membina generasi yang lebih berkemahiran, bertanggungjawab dan bersedia menyumbang kepada masyarakat.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad
Pensyarah
Jabatan Pemajuan Profesional aan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia
E-mel:m_mursyid@upm.edu.my