
KANGAR, 31 Ogos – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru rakyat supaya menghayati erti kemerdekaan dengan mengisi kebebasan menerusi ilmu, integriti, perpaduan dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air.
- Kemerdekaan hasil perjuangan panjang, pengorbanan besar dan kesepakatan rakyat pelbagai kaum.
- Rakyat merdeka ialah yang berfikir matang, bertindak beretika dan menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab.
- Anak negeri dan generasi muda dipanggil menuntut ilmu, kuasai kemahiran baru, bina jati diri serta pelihara agama dan budaya.
- Perpaduan ditegaskan sebagai sumber keamanan, kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan bagi bangsa.
Baginda bertitah, kemerdekaan yang dinikmati hari ini lahir daripada perjuangan panjang, pengorbanan besar serta kesepakatan rakyat pelbagai kaum.
Menurut baginda, rakyat yang benar-benar merdeka ialah mereka yang mampu berfikir secara matang, bertindak secara beretika serta menggunakan kebebasan dengan penuh tanggungjawab.
Baginda turut menyeru anak-anak negeri Perlis, khususnya generasi muda, supaya terus menuntut ilmu, menguasai kemahiran baharu, membina jati diri serta memelihara nilai agama dan budaya sebagai warisan.
“Saya percaya, ilmu tanpa akhlak tidak akan melahirkan insan yang sempurna, manakala kemajuan tanpa integriti tidak akan menjamin kesejahteraan yang berkekalan.
“Jadilah generasi yang berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berintegriti, serta bersedia menyumbang kepada kemajuan Perlis dan Malaysia,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Perlis Tahun 2026 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di Kangar.
Dalam titahnya, baginda turut menekankan kepentingan perpaduan sebagai kekuatan sesebuah bangsa kerana daripada perpaduan lahir keamanan dan kestabilan, seterusnya membawa kepada kemajuan serta kesejahteraan.
Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri itu diserikan dengan penyertaan 70 kontinjen dalam perbarisan dan perarakan, selain pelbagai aktiviti termasuk pameran agensi kerajaan, persembahan artis, pertunjukan bunga api, pancaragam gabungan Markas 30 Briged, persembahan seni bela diri dan pantomim Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sambutan berkenaan turut disaksikan lebih 46,000 masyarakat berbilang kaum.
Berangkat sama ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.