fb fb fb fb fb

FFM 33 manfaat platform digital buka peluang penggiat industri capai audien global

POSTER FFM 33

KUALA LUMPUR, 7 Disember- Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM 33) memainkan peranan penting dalam mendekatkan karya filem tempatan kepada penonton, khususnya melalui platform digital seperti perkhidmatan ‘over-the-top’ (OTT).

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman berkata, ia membuka peluang yang lebih luas untuk penggiat industri mencapai audien global.

“FFM 33 turut memanfaatkan pengaruh media sosial untuk mempromosikan karya seni tempatan secara interaktif, meningkatkan minat terhadap filem Malaysia dalam kalangan generasi muda.

“Jadi, kerajaan komited untuk terus menyokong industri filem dengan beberapa inisiatif terkini, antaranya menerusi pembiayaan iaitu Program Belia Kreatif Madani yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 adalah usaha strategik untuk memupuk bakat muda dalam sektor kreatif.

“Selain itu, kerajaan aktif menyokong penerbit tempatan untuk menembusi pasaran global melalui penyertaan festival dan pasaran antarabangsa dari sudut penjualan kandungan dan
kolaborasi dengan agensi seperti Tourism Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Dalam soal kebajikan, melalui pemerkasaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kerajaan melalui FINAS memastikan kebajikan penggiat industri lebih terbela, dengan termeterainya, memorandum persefahaman (MoU) antara FINAS dan agensi berkenaan.

“Bagi permulaan, fokus caruman adalah pemohon Dana Kandungan Kreatif dan Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI),” katanya.

Menurutnya, Inisiatif Program Belia Seni Kreatif dengan peruntukan RM30 juta bakal memberi manfaat kepada 16,000 anak muda dalam bidang seni kreatif.

“Tema FFM 33 iaitu Evolusi Sinema Malaysia (EMAS) melambangkan nilai dan potensi tinggi industri perfileman. Bagi memastikan golongan muda terus berkarya, mereka disarankan untuk mengambil inspirasi daripada seniman dan seniwati agung yang karya mereka masih dikenang.

“Inisiatif Program Belia Seni Kreatif dengan peruntukan RM30 juta yang bakal memberi manfaat kepada 16,000 anak muda dalam bidang seni kreatif seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pembentangan Belanjawan 2025.

“Selain itu, pelbagai program pembangunan bakat seperti ‘ masterclass’ dan bengkel terus dianjurkan untuk meningkatkan kemahiran golongan muda,” katanya.

Kamil berkata, FFM 33 turut membawa kelainan melalui pengisian 57 program sisipan interaktif yang menjana pembangunan ekonomi kreatif, selari dengan inisiatif Rekalibrasi FINAS.

“Program ini meliputi tiga teras utama iaitu Film Bizz. Ia menumpukan kepada pelaburan, pembiayaan, pemodalan, pendanaan serta kerjasama produksi dan pengedaran di dalam dan luar negara.

“Kedua, pembudayaan, penontonan dan apresiasi sinema. Menerusi sinergi jaringan kesarjanaan ilmu dan aktiviti seperti tayangan filem bersama komuniti, pelajar dan pembikin filem, usaha ini bertujuan menyemarakkan minat terhadap sinema tempatan.

“Ketiga, peningkatan profesionalisme dan kapasiti industri. Ia dilaksanakan melalui program ‘masterclass’, latihan, dan bengkel perfileman berimpak tinggi untuk memacu daya saing tenaga kerja industri.

“Keistimewaan ini memperlihatkan komitmen FFM33 dalam memperkasa ekosistem perfileman negara di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, aspek penjurian dan ketua juri adalah sangat penting untuk memastikan FFM lebih diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Pemilihan ketua juri perlu dari kalangan individu yang mempunyai pengalaman sebagai juri di festival berprestij antarabangsa.

“Kami juga akan mengenal pasti juri Malaysia yang berpotensi untuk dihantar mewakili negara sebagai juri di festival antarabangsa melalui kerjasama strategik bersama FINAS. Ini adalah langkah penting untuk membina reputasi filem Malaysia di pentas global.

“FFM adalah platform untuk meraikan artis dan penggiat seni. Kami mahu menjadikan FFM, serta program lain anjuran FINAS dan kementerian, sebagai acara yang menyatukan semua penggiat seni, daripada pelbagai latar belakang. Dengan ini, kita dapat membentuk komuniti industri yang lebih sihat, harmoni, dan saling menyokong,” katanya.

 

0712 FFM 332Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE