Rusia dan Ukraine saling dakwa serangan baharu, konflik semakin tegang

Foto AFP

KIEV, 7 Jun – Konflik antara Rusia dan Ukraine semakin tegang apabila kedua-dua pihak saling mendakwa kejayaan serangan terhadap sasaran ketenteraan masing-masing dalam perkembangan terbaharu pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rusia mendakwa menguasai Shevchenko, serta menyerang 153 lokasi termasuk kemudahan dron, depot bekalan, rangkaian pengangkutan dan pelabuhan.
  • Kementerian Pertahanan Rusia berkata sistem pertahanan udara menembak jatuh HIMARS, bom berpandu dan ratusan dron di beberapa wilayah termasuk sekitar Moscow.
  • Ukraine mendakwa melancarkan serangan dron sehingga St. Petersburg, mensasarkan gudang ketenteraan, pangkalan Kronstadt dan kemudahan simpanan minyak.

Rusia mendakwa tenteranya berjaya menguasai penempatan Shevchenko di wilayah Kharkov, timur Ukraine, selain melancarkan serangan ke atas 153 kawasan yang melibatkan infrastruktur ketenteraan Ukraine termasuk kemudahan dron jarak jauh, depot bekalan, rangkaian pengangkutan serta pelabuhan.

Kementerian Pertahanan Rusia turut memaklumkan sistem pertahanan udaranya menembak jatuh pelbagai ancaman termasuk peluru berpandu HIMARS, bom berpandu dan ratusan dron Ukraine di beberapa wilayah, termasuk sekitar Moscow serta Laut Hitam.

Sementara itu, Ukraine mendakwa tenteranya berjaya melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran Rusia termasuk kawasan penumpuan tentera, pusat kawalan dron dan sistem artileri.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula berkata dron Ukraine telah mencapai St. Petersburg, menyasarkan sebuah gudang tentera laut serta pangkalan ketenteraan di Kronstadt, selain menyerang kemudahan simpanan minyak di wilayah Krasnodar.

Beliau turut mendakwa operasi dron Ukraine telah menembusi beberapa lokasi strategik di dalam Rusia termasuk gudang senjata dan kemudahan tenaga.

Pertempuran berterusan ini menunjukkan konflik yang masih belum menemui jalan penyelesaian, dengan kedua-dua pihak terus meningkatkan operasi ketenteraan di pelbagai lokasi strategik.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.