
BEIJING, 4 Ogos – Aliran trafik pergerakan kapal komoditi dan perkapalan maritim di dua laluan maritim utama iaitu Selat Bab el-Mandeb serta Selat Hormuz, kekal hampir tidak berubah awal minggu ini, walaupun perkembangan rundingan antara Washington dan Tehran, masih belum jelas,
- 20 kapal (12 tangki, lapan kargo pukal) melalui Selat Bab el-Mandeb pada Isnin, sama seperti hari sebelumnya.
- Aliran trafik di Selat Hormuz sedikit berkurangan, enam kapal berbanding tujuh pada hari sebelumnya.
- Syarikat perkapalan kekal berhati-hati; laluan disifatkan berisiko tinggi. Iran berkata tiada rundingan dijadual dengan Washington.
Data daripada firma penjejakan maritim Kpler menunjukkan 20 kapal terdiri daripada 12 kapal tangki dan lapan kapal kargo pukal telah melalui Selat Bab el-Mandeb pada Isnin, yang merupakan angka sama pada hari sebelumnya.
“Pada Ahad, 30 pergerakan kapal telah direkodkan dengan 20 kapal telah keluar dari Laut Merah manakala 10 kapal memasuki laluan berkenaan dan satu kapal dikesan telah mematikan sistem penjejakan automatik (AIS).”menurut data berkenaan.
Di Selat Hormuz pula, aliran trafik sedikit berkurangan iaitu enam kapal berbanding tujuh pada hari sebelumnya.
Data berkenaan turut melaporkan 23 kapal telah melalui selat itu pada Jumaat diikuti 11 (Sabtu).
Bagaimanapun, angka sebenar kemungkinan lebih tinggi memandangkan terdapat kapal yang tidak mengaktifkan AIS.
Syarikat-syarikat perkapalan dilapor masih berhati-hati terhadap sebarang ancaman dengan menyifatkan kedua-dua laluan berkenaan sebagai laluan maritim yang berisiko tinggi dan bukannya laluan yang telah kembali beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei memaklumkan tiada rundingan dan pertemuan dijadual bersama Washington.
Kenyataan dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan serangan terhadap Iran ditangguhkan sementara menunggu hasil rundingan. – REUTERS