
BANGKOK, 7 Oktober – Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pada Rabu memaklumkan kepada Mahkamah Cukai Pusat bahawa nyawanya mungkin terancam sekiranya pihak berkuasa merampas aset miliknya, termasuk dua kereta kalis peluru, dalam pertikaian cukai bernilai lebih AS$500 juta
- Thaksin memohon injunksi sementara di Mahkamah Cukai Pusat untuk menghalang Jabatan Hasil merampas dan melelong aset miliknya.
- Pertikaian berpunca daripada penjualan Shin Corp kepada Temasek pada 2006, yang mencetuskan bantahan besar dan membawa kepada rampasan kuasa.
- Mahkamah Agung mengekalkan tuntutan cukai tahun lalu dan Mahkamah Cukai Pusat menetapkan tarikh 16 November untuk permohonan.
Thaksin berkata demikian ketika hadir di mahkamah berkenaan bagi memohon injunksi sementara menghalang Jabatan Hasil Thailand daripada merampas serta melelong aset miliknya bagi melangsaikan tuntutan cukai berjumlah lebih 17 bilion baht iaitu kira-kira AS$504 juta.
Menurut Thaksin, lima kenderaan miliknya termasuk dua kereta kalis peluru digunakan atas faktor keselamatan susulan mendakwa dirinya pernah berdepan dengan ancaman keselamatan ketika menjadi Perdana Menteri.
“Saya tidak pasti sama ada seseorang berniat untuk mencederakan saya,” katanya sambil mempersoalkan pihak yang akan bertanggungjawab sekiranya kenderaan keselamatannya dirampas sehingga keselamatannya terjejas.
Pertikaian itu berpunca daripada penjualan syarikat telekomunikasi milik keluarga Shinawatra, Shin Corp, kepada syarikat Singapura, Temasek Holdings, pada 2006.
Urus niaga bernilai AS$1.9 bilion itu mencetuskan bantahan besar sehingga membawa kepada rampasan kuasa yang menyingkirkan Thaksin daripada jawatan Perdana Menteri.
Thaksin, bagaimanapun berhujah bahawa beliau telah menyelesaikan tuntutan cukai berkaitan penjualan tersebut.
Mahkamah Agung Thailand pada November tahun lalu mengekalkan tuntutan cukai Jabatan Hasil terhadapnya berhubung transaksi berkenaan.
Mahkamah Cukai Pusat Thailand menetapkan tarikh 16 November depan berhubung permohonan tersebut.- AFP